Muhammad Rafique Rashid Ali.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rafique Rashid mempersoal naratif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Deepavali yang sekali lagi menyentuh isu pulangan dana awam berjumlah RM15.5 bilion.

Menurut Rafique, meskipun kejayaan memulangkan semula wang rakyat perlu dipuji, namun naratif yang dibawa perdana menteri mula dilihat lesu dan sarat dengan retorik politik.

“Pertama sekali ini baik. Rakyat sokong. Tatakelola dan lawan ketirisan serta rasuah mesti dipuji tidak kira sesiapapun.

“Tetapi disambung pula naratif lesu, kononnya pimpinan politik sakau…ada rumah, ada harta di Australia, di London,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau turut merujuk pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini yang menyaksikan angka RM15.5 bilion itu disambut dengan tepukan meja oleh ahli Parlimen kerajaan, namun mendakwa kamera Dewan Rakyat tidak pula menyorot reaksi ahli-ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini dikecam Anwar kerana didakwa “sakau”.

“Bercakap di pentas mudah bagi PMX. Saya ingin bertanya, dari siapa wang-wang ini dirampas? Mengapa tidak namakan?” soal beliau.

Rafique yang juga seorang peguam mempersoalkan status beberapa kes berprofil tinggi termasuk janji untuk mengambil tindakan terhadap individu tertentu dalam SPRM, pelantikan pemimpin yang terlibat dengan kes DNAA sebagai timbalan perdana menteri serta kejayaan luar biasa individu tertentu yang dikatakan “usahawan muda paling berjaya dalam sejarah ekonomi negara”.

“Bagaimana pula kerjasama dengan ahli-ahli politik di Sabah yang sekurang-kurangnya atas skrin telefon pintar seluruh negara sedang bincang tentang wang rasuah?” tambahnya.

Menurut Rafique, jika benar dana RM15.5 bilion itu dikembalikan kepada negara hasil rampasan, maka kerajaan perlu mendedahkan bukti dan maklumat terperinci tentang pihak yang terlibat.

“Ya, mudah cakap RM15.5 bilion wang rakyat kena sakau. Siapa sakau? Perlu ada bukti. Kalau ada kotak-kotak mesti tunjukkan. Bukan cakap sahaja,” katanya sinis.

Beliau turut membandingkan dengan kes pada tahun 1998 yang membabitkan tuduhan salah guna kuasa berkaitan akuan bersumpah (SD) yang melalui proses perbicaraan hingga ke peringkat rayuan sebelum individu terbabit dihukum penjara.

Katanya, kenyataan itu dijangka menghangatkan lagi perbahasan politik menjelang pembentangan penuh Bajet 2026 dan bakal memberi tekanan kepada kerajaan untuk memperincikan hasil dan proses pemulangan dana awam tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast