SEBERANG JAYA – “Lebih pada binatang si pelaku buat, tak tergamak (keluarga melihat).. kalau boleh saya nak pihak berkuasa tangkap, tuduh dan bagi balasan setimpal (kepada pelaku) dengan apa yang dia buat,” luah Bismi Che Hin, abang mangsa bunuh dua beranak di Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam semalam.
Menurut Bismi, 60, dia yang menetap di Jeneri, Sik, Kedah hanya tahu mengenai kejadian yang menimpa adik bongsunya, Sariya, 51, itu melalui mesej di aplikasi WhatsApp ahli keluarga lain kira-kira jam 7.30 malam.
Jelasnya, dia meminta bantuan besannya di Machang Bubok di sini, untuk pergi ke lokasi kejadian untuk kepastian lanjut.
“Bila besan maklum betul adik yang mesra dengan panggilan Su mati dibunuh bersama anak angkatnya baru saya dan isteri bergerak dari Jeneri ke lokasi, namun kami tidak dibenarkan masuk oleh pihak polis berikutan siasatan sedang berjalan ketika itu.
“Luluh dan sakit hati saya apabila kami dimaklumkan keadaan mayat adik serta anak angkatnya itu yang mana saya boleh gambarkan pelaku berkelakuan lebih pada binatang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, hari ini.
Tambahnya, arwah mempunyai seorang anak kandung lelaki, manakala dua lagi termasuk Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, yang dibunuh bersamanya, merupakan anak angkat.
Mengulas lanjut Bismi berkata, kali terakhir mereka bertemu pada majlis resepsi anak lelaki mangsa pada awal tahun ini dan berhubung menerusi panggilan pada Jun lalu.
“Setahu saya, Su tidak pernah mempunyai masalah dengan sesiapa. Namun, berkaitan hal rumah tangga, kami tidak pasti kerana dia baru berkahwin dengan suaminya itu kurang daripada lima tahun.
“Selain itu, dalam kami enam beradik Su paling periang dan ramah dengan semua orang jadi tak sangka ada orang sanggup bunuh dia sekejam ini.
“Kami harap adik saya dan anaknya mendapat keadilan selain pelaku menerima hukuman setimpal dengan perbuatannya,” katanya.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di Unit Forensik HSJ mendapati lebih 20 ahli keluarga mangsa sedang menunggu proses bedah siasat dua beranak itu dan jenazah dijanjikan akan dikemudikan di Kampung Masjid Jeneri, Sik.
Terdahulu, suami mangsa direman selama tujuh hari sehingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan pembunuhan tersebut. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan: Polis jumpa pisau dalam semak berhampiran rumah dua beranak dibunuh
Suami dua beranak mati dibunuh direman bantu siasatan polis

















Kalau pembunuh kejam ni tidak dihukum gantung mmg zalim sungguh sistem undang2 di Malaysia.. tindakan Azalina memansuhkan hukuman mati mandatori adalah satu kesilapan terbesar…