Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 29 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan kini giat melaksanakan Projek Zero Dependency (tiada kebergantungan) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan air terawat dari Singapura, sekali gus memperkukuh sekuriti air negeri Johor.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara inisiatif utama dalam projek tersebut adalah pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Johor, Baraj dan TAPS Sungai Pontian Besar, serta Baraj dan TAPS Sungai Sedili Besar yang sedang dalam fasa pelaksanaan.

Sementara itu beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Airberkata, projek Penyaluran Air Mentah Layang 2 yang dikendalikan oleh Jabatan Bekalan Air telah pun siap sepenuhnya pada 20 Disember 2024.

“Dalam masa yang sama, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) melalui PETRA sedang melaksanakan dua projek pembinaan loji rawatan air (LRA), iaitu LRA Semangar 3 dengan kapasiti 200 juta liter sehari (JLH) dan LRA Kayu Ara Pasong (90 JLH), yang kini masih dalam peringkat reka bentuk.

“Bagi LRA Layang 2, Fasa 1 telah siap pada Mac 2024 dengan kapasiti 160 JLH, manakala Fasa 2 pula sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2027,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan (PH-Batu Pahat), Onn Abu Bakar yang meminta menyatakan langkah kerajaan bagi meningkatkan serta menambah kapasiti pembelian bekalan air terawat dari Singapura demi memenuhi keperluan bekalan air di negeri Johor.

Fadillah berkata, dalam usaha menambah baik kapasiti serta sistem pengagihan air terawat di negeri ini, kementerian melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah meluluskan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.4 bilion di bawah Pelan Perniagaan Tempoh Operasi ke-6 Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (2024 – 2026).

Ujarnya, beberapa projek utama yang telah diluluskan oleh PAAB termasuk cadangan kerja-kerja membina sistem agihan baharu dari LRA Semangar ke Tangki Bukit Kulai, Kota Tinggi; cadangan peningkatan sistem bekalan air di Wilayah Iskandar, Johor Bahru dan cadangan membina sistem agihan utama dari Damansara Aliff ke Iskandar Puteri, Daerah Johor Bahru.

Tambahnya, keseluruhan inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan keupayaan infrastruktur air negeri Johor secara menyeluruh, selain menyokong pertumbuhan ekonomi serta keperluan penduduk yang semakin meningkat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast