BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki warga Iran didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri wang tunai RM400 daripada seorang lelaki tempatan, pada bulan lalu.
Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Hossein Yazdanjoo, 40, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.
Mengikut pertuduhan, Hossein didakwa mencuri wang milik seorang lelaki tempatan, Kang Soo Huat di hadapan rumah mangsa di Kampung Cross Street, di sini, jam 6.30 petang pada 26 September lalu.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian, mangsa berada di hadapan rumahnya apabila sebuah kereta jenis Honda City berhenti dan pemandunya bertanya sama ada mangsa mahu menukar wang.
Tidak lama kemudian, tertuduh bertindak merampas wang tunai RM400 daripada mangsa sebelum melarikan diri.
Suspek kemudian berjaya dikesan oleh pihak polis selepas mangsa membuat laporan selain rakaman dash cam di lokasi menunjukkan kenderaan digunakan berada di tempat kejadian.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Syakila Dahari manakala tertuduh diwakili peguam, Chiang Kian Hong.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal bayar denda. – MalaysiaGazette
















