KUALA LUMPUR – Peguam yang mengendalikan kes seorang pelajar lelaki yang disyaki menikam mati seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Damansara Utama minggu lalu memohon tertuduh menjalankan penilaian psikiatri.
Permohonan tersebut telah dibuat oleh peguam Anwar Ezzad Zainal dibantu oleh Kitson Foong.
Menurut Foong, permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) itu bertujuan membolehkan doktor psikiatri kerajaan menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap tahap kesihatan mental tertuduh yang bersuai 14 tahun itu serta menilai tahap keselamatan dirinya dan tahanan lain di pusat tahanan sementara.
“Kami memberikan dua alasan utama bagi menyokong permohonan ini. Pertama, demi penjagaan diri tertuduh sendiri bagi memastikan dia tidak mencederakan diri atau bertindak di luar kawalan ketika dalam tahanan.
“Kedua, demi keselamatan remaja lain yang mungkin berkongsi sel dengannya,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.
Menurut Foong, laporan psikiatri yang akan dijalankan oleh pakar kerajaan itu penting bagi menentukan sama ada tertuduh memahami prosiding mahkamah yang sedang berlangsung serta menilai keadaan mindanya ketika kejadian berlaku.
“Penilaian ini akan memberi gambaran penuh mengenai sejarah dan keadaan mentalnya sejak kecil hingga waktu kejadian termasuk kemungkinan wujudnya ‘invisible disability’ atau kecacatan minda yang tidak kelihatan,” katanya.
Menurut beliau, laporan itu akan menjadi asas penting kepada pembelaan tertuduh termasuk kemungkinan pembelaan berdasarkan faktor tidak siuman.
“Kita sebagai orang awam tidak boleh menilai seseorang itu siuman atau tidak. Hanya doktor psikiatri boleh mengesahkan perkara ini berdasarkan simptom dan penilaian klinikal,” ujarnya.
Foong menambah proses penilaian psikiatri mungkin mengambil masa antara satu hingga tiga bulan bergantung kepada tahap kerjasama tertuduh.
“Ia bukan proses segera. Pakar memerlukan masa untuk membina keyakinan dan mendapatkan sejarah hidup tertuduh sebelum laporan lengkap dapat disiapkan,” jelasnya.
Tambah beliau, setiap individu, termasuk remaja yang berdepan tuduhan berat, wajar diberi peluang untuk menjalani rawatan dan pemulihan.
“Tiada siapa boleh dikatakan tidak ada harapan. Dengan pendidikan, rawatan dan bimbingan yang betul, pemulihan masih boleh berlaku,” katanya.
Foong memaklumkan bahawa pertuduhan terhadap pelajar itu dibacakan dalam Bahasa Malaysia dan diterjemahkan ke Bahasa Mandarin bagi memastikan tertuduh memahami sepenuhnya proses mahkamah.
Tambahnya, anak guam mereka dalam keadaan tenang dan normal ketika pertuduhan dibacakan hari ini.
Mahkamah menetapkan 21 November depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan psikiatri dan penyerahan dokumen berkaitan oleh pihak pendakwaan kepada pihak pembelaan.
Kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas laporan psikiatri diperoleh, memandangkan tertuduh berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian 14 Okt lepas, pelajar perempuan berkenaan ditemukan meninggal dunia di dalam tandas di sekolah itu, selepas disyaki ditikam berulang kali oleh remaja lelaki yang juga pelajar di sekolah sama. – MalaysiaGazette
















