Keadaan kereta mangsa selepas bertembung dengan lori tangki minyak sawit - Foto Tular

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 24 tahun maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit di Jalan selepas Bandar Balung, di Sabah, pagi tadi.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung nahas pada jam 11.44 pagi.

Menurut beliau, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sebaik tiba, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori tangki dan sebuah kereta jenis sedan. Mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.

“Pemandu lori tidak mengalami kecederaan, manakala mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, lori tangki terbabit dialihkan menggunakan kren bagi memastikan aliran trafik kembali lancar, manakala pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan bagi memastikan kawasan bebas daripada sebarang risiko bahaya lain.

Operasi ditamatkan sekitar jam 1.10 tengah hari dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast