NIBONG TEBAL – Polis menahan lima individu termasuk seorang wanita yang disyaki terbabit dalam 28 kes pecah rumah di tiga daerah dalam Seberang Perai dengan jumlah kerugian melebihi RM100,000.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, semua suspek berusia antara 21 hingga 47 tahun itu ditahan dalam serbuan di Bukit Tambun pada 16 Oktober lalu hasil tindakan pantas pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).
“Penahanan pertama dilakukan sekitar jam 3 pagi selepas pengawal keselamatan perumahan Eco Meadows, Bukit Tambun, mengesan dua lelaki mencurigakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum membuat laporan polis.
“Susulan itu, pihak polis menahan seorang suspek lelaki di lokasi kejadian dan hasil siasatan lanjut membawa kepada tangkapan empat lagi suspek terdiri daripada tiga lelaki serta seorang wanita.
“Polis turut merampas dua kenderaan jenis Toyota Avanza dan Honda Civic EFI, motosikal (3), telefon bimbit (5) serta pelbagai peralatan pecah rumah seperti pahat besi, parang, topi, sarung tangan dan topeng muka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, modus operandi mereka ialah menyasarkan rumah mewah berpagar keselamatan dengan berjalan kaki serta menggunakan pahat kecil untuk mengumpil pintu utama selain memakai sarung tangan dan topeng muka bagi mengelak dikesan.
“Kumpulan ini dipercayai aktif memecah rumah di kawasan SPS, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara sejak pertengahan tahun ini.
“Dengan tertangkapnya kumpulan ini, kita juga berjaya menyelesaikan 28 kes pecah rumah membabitkan kerugian keseluruhan melebihi RM100,000.
“Kita komited memastikan keselamatan komuniti sentiasa terjamin menerusi rondaan proaktif dan risikan berfokus serta menggalakkan orang ramai melaporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan perumahan masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette
















