KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Seketariat Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya menyifatkan tidak wajar bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan pentas antarabangsa membentuk persepsi beliau mangsa penganiayaan politik serta sistem keadilan negara.
Apatah lagi, kata beliau, Anwar telah menjalani hukuman berdasarkan keputusan mahkamah yang sah.
Ujarnya, kisah-kisah peribadi atau pengalaman di dalam penjara tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk merombak sejarah jenayah yang telah dibuktikan.
Sebagai pemimpin tertinggi negara, Anwar seharusnya mengangkat institusi kehakiman, bukan mempersoalkan integritinya atas dasar sentimen dan simpati.
“Kenyataan beliau juga dilihat sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu semasa negara, termasuk tekanan ekonomi, kos sara hidup dan kelemahan pentadbiran semasa.
“Rakyat mahu penyelesaian, bukan drama ulangan kisah lama yang tidak membawa manfaat kepada negara,” katanya menerusi satu kenyataan.
Marzuki merujuk kenyataan Anwar dalam program In Conversation with Anwar Ibrahim sempena Forum Ilmu PNB kelmarin, yang mendakwa kononnya beliau adalah mangsa penganiayaan politik serta sistem keadilan negara.
Tambahnya, dakwaan sedemikian adalah cubaan mengelirukan rakyat dan masyarakat serta bertujuan menutup rekod jenayah lampau yang telah melalui proses perundangan yang sah dan telus.
Ujarnya, semua pertuduhan terhadap Anwar telah melalui proses mahkamah yang lengkap iaitu daripada siasatan, pendakwaan, pembentangan bukti dan keterangan saksi termasuk mangsa sehingga kepada keputusan kehakiman.
Malah, kata beliau, adalah penting untuk ditegaskan bahawa tiada satu pun keputusan kehakiman yang menyatakan Anwar dianiaya atau menjadi mangsa konspirasi politik.
“Dakwaan beliau hanya merupakan kenyataan peribadi tanpa sandaran undang-undang. Dalam negara yang mengamalkan demokrasi berperlembagaan dan kebebasan kehakiman, keputusan mahkamah adalah muktamad dan mesti dihormati,” katanya.
Tambah beliau, Anwar boleh berkata apa sahaja di media tempatan dan antarabangsa namun tidak boleh mengubah fakta yang beliau pernah disabitkan bersalah oleh mahkamah atas kesalahan jenayah.
“Itu adalah sebahagian daripada rekod sejarah negara ini dan tetap dalam ingatan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















