Anggota polis trafik melakukan simulasi konvoi delegasi antara wakil negara yang menyertai ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur hari ini menyaksikan ketibaan ramai pemimpin tertinggi dunia apabila lebih ramai ketua negara mula tiba untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hujung minggu ini.

Antara yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva bersama isteri, Rosangela Lula da Silva; Naib Perdana Menteri China, He Lifeng; Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa dan isteri, Dr Tshepo Motsepe, serta Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao.

Mereka akan disertai oleh Menteri Luar Finland, Elina Valtonen; Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn dan isteri Khen Rany; Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas; Menteri Luar Indonesia, Sugiono, serta Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Djamari Chaniago.

Antara pemimpin dunia lain yang dijangka berhimpun di KLCC hujung minggu ini termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Perdana Menteri China, Li Qiang; Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dan Perdana Menteri wanita pertama Jepun, Sanae Takaichi.

Ketibaan mereka menandakan momentum yang semakin memuncak menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di KLCC dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Gambar hiasan

Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan oleh Malaysia berlangsung ketika ekonomi global berdepan tekanan daripada langkah tarif Amerika Syarikat dan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.

Antara mesyuarat utama minggu ini termasuk Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-26 yang memberi tumpuan kepada Pelan Tindakan AEC 2025, serta Mesyuarat Pakar+4 Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) yang akan membincangkan strategi untuk menghadapi cabaran ekonomi dan perdagangan global yang semakin mencabar.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini menandakan kali kelima Malaysia memegang tampuk Kepengerusian ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas mengetuainya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast