PUTRAJAYA – Kabinet masih tidak menerima sebarang usul daripada Datuk Ewon Benedick untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun Ahli Parlimen Penampang itu hadir dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi namun Ewon tidak berbuat demikian.
“Ada…ada…(hadir mesyuarat Kabinet). Belum lagi (hantar surat letak jawatan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Surau Al-Quddus, Presint 16 hari ini.

Anwar berkata demikian mengulas hasrat Ewon untuk meletak jawatan dalam Kabinet sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf hak Perlembagaan Sabah berhubung 40 peratus hasil Persekutuan.
Ewon selaku Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, keputusan itu selaras dengan resolusi diluluskan Konvensyen UPKO Bahagian Penampang pada Ahad lalu.
Antara resolusi UPKO Bahagian Penampang termasuk menuntut beliau berundur daripada Kabinet sekiranya AGC meneruskan rayuan tersebut. – MalaysiaGazette
















