Saifuddin Shafi Muhammad.

SHAH ALAM – Semua pihak diminta mengelak membuat spekulasi terlalu awal berhubung kemungkinan penjajaran politik atau pembentukan gabungan baharu melibatkan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang benar-benar ikhlas mahu menyumbang kepada kestabilan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, sebarang bentuk persefahaman atau kerjasama perlu mempunyai titik pertemuan yang jelas, dibina atas keikhlasan serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Selangor, khususnya masyarakat di kawasan DUN yang terlibat.

“Saya mengambil maklum perkembangan politik semasa termasuk kenyataan Ketua Pemuda Bersatu, Muhammad Hilman Idham berhubung kemungkinan kerjasama politik di Selangor serta perkembangan di Pahang melibatkan sokongan dua ADUN Bersatu terhadap kepimpinan Menteri Besar Pahang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Menurut Saifuddin yang Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, perkembangan di Pahang menunjukkan perbezaan parti tidak semestinya menjadi penghalang kepada persefahaman sekiranya kepentingan rakyat dan kestabilan pentadbiran diletakkan sebagai keutamaan.

Malah, jelasnya, keputusan pucuk pimpinan Bersatu merestui sokongan dua ADUN parti itu kepada Menteri Besar Pahang atas pertimbangan kestabilan politik dan kebajikan rakyat menunjukkan ruang kerjasama merentasi garis politik masih boleh diterokai.

“Apa yang berlaku di Pahang menunjukkan bahawa dalam politik, perbezaan parti tidak semestinya menjadi penghalang kepada satu persefahaman sekiranya kepentingan rakyat dan kestabilan pentadbiran diletakkan sebagai keutamaan.

“Malah, keputusan pucuk pimpinan Bersatu merestui sokongan dua ADUN mereka terhadap Menteri Besar Pahang atas pertimbangan kestabilan politik serta kebajikan rakyat membuktikan ruang kerjasama merentasi garis politik sentiasa boleh diterokai apabila wujud asas dan matlamat yang jelas,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan semua pihak perlu mengelak daripada membuat spekulasi terlalu awal mengenai sebarang penjajaran atau pembentukan gabungan politik baharu melibatkan PH di Selangor.

“Datuk Seri Amirudin sebelum ini juga telah menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak berdasarkan kestabilan politik dan kepentingan rakyat.

”Namun pada masa ini belum ada sebarang perbincangan serius atau rasmi mengenai perkara tersebut,” jelasnya.

Saifuddin berkata, keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan pentadbiran terus berjalan, selain memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Dalam tempoh terdekat, perhatian harus diberikan kepada persediaan Belanjawan Selangor 2027 yang bakal dibentangkan oleh Menteri Besar.

“Belanjawan ini jauh lebih penting untuk rakyat kerana ia akan menentukan hala tuju pembangunan negeri, program kesejahteraan rakyat serta keutamaan pentadbiran Selangor bagi tahun hadapan,” katanya.

Tambah beliau, perbincangan mengenai politik boleh diteruskan pada waktunya, namun rakyat ketika ini lebih memerlukan kerajaan memberi tumpuan kepada masalah mereka dan memastikan pembangunan negeri terus bergerak.

“Politik boleh terus dibincangkan pada waktunya. Hari ini, rakyat mahu kerajaan bekerja, menyelesaikan masalah mereka dan memastikan pembangunan negeri terus bergerak.

“Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mahu bersama-sama mendukung agenda tersebut dengan ikhlas, pintu sentiasa terbuka untuk berbincang,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here