PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pembantu rumah warga Indonesia cedera akibat didera oleh majikannya dengan memasukkan air panas ke dalam mulut pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Muhamad Farid Ahmad berkata, pengadu yang merupakan seorang lelaki berusia 37 tahun terlihat pesanan yang dihantar oleh adiknya melalui aplikasi Whatsapp menyatakan sesuatu telah berlaku di rumah.

Berikutan itu, tambah beliau, pengadu menghubungi adiknya itu dan diberitahu bahawa pembantu rumah mereka telah didera oleh ibunya dengan memasukkan air panas ke dalam mulut kerana tidak beritahu hendak menggunakan kicap.

“Sebelum ini, mangsa pernah didera dengan cara dipicit payudaranya sehingga luka dan bernanah, disimbah air panas ke kakinya dan ditendang giginya hingga patah oleh suspek,” katanya menerusi kenyataan.

Berikutan itu, menurut Muhamad Farid, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang menahan seorang wanita berusia 59 tahun dan menyelamatkan mangsa berumur 47 tahun pada jam 1 pagi Isnin.

Beliau berkata, polis turut menahan suami suspek yang berusia 59 tahun, semalam.

Muhamad Farid berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670) atas kesalahan pemerdagangan orang dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh didenda atau sebat.

Muhamad Farid memberitahu, kes telah dirujuk ke Pejabat Jabatan Peguam Negara dan diarah pasangan suami isteri itu dituduh di bawah Seksyen 13(a) Akta ATIPSOM 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan atas kesalahan pemer­daga­ngan orang melalui ancaman.

Pertuduhan dibuat pada hari ini di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor.

Kedua-duanya tidak mengaku bersalah dan jaminan RM20,000 dikenakan ke atas setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi IPD Serdang di talian 03-80742222 atau menghubungi balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast