BUKIT MERTAJAM – Tiga lelaki warga Nepal termasuk suspek utama kes pembunuhan kejam dua beranak di Kampung Sekolah Juru di sini, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan polis.
Majistret Mahkamah Bukit Mertajam, Nurul Rasyidah Mohd Akit membenarkan perintah reman terhadap suspek utama berusia 35 tahun, abangnya, 40, serta seorang rakan mereka berumur 28 tahun, bermula hari ini hingga 31 Oktober depan.
Perintah reman berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kira-kira jam 9.45 pagi dengan tangan bergari, diiringi sepasukan anggota polis bagi mendapatkan perintah reman.
Difahamkan, suspek utama ditahan di pejabat imigresen di Selangor, manakala abangnya dan rakan mereka diberkas di Bukit Tengah di sini.
Difahamkan, suspek utama itu dalam percubaan melarikan diri ke luar negara.

Tangkapan tiga suspek itu dijangka mampu merungkai motif sebenar pembunuhan terbabit sekali gus membantu polis melengkapkan siasatan kes tragis berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN
Kes bunuh dua beranak: Dua lelaki termasuk warga asing direman 7 hari
Dua beranak maut akibat ditetak pada belakang leher
Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan tiga lagi tangkapan baru dibuat bagi membantu siasatan lanjut.
Media pada 18 Oktober lalu melaporkan, Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11 tahun ditemui mati dalam satu pembunuhan kejam di rumah sewa mereka.
Mayat wanita itu ditemui di bahagian dapur tingkat bawah rumah dengan keadaan kepalanya hampir putus manakala anaknya pula, meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah separa kayu itu.
Mayat mereka ditemui suami mangsa sekitar jam 7.30 malam.
Susulan itu, polis menahan tiga suspek termasuk suami mangsa berusia 57 tahun bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















