KLUANG – Dua maut termasuk seorang remaja lelaki dalam nahas tiga kenderaan di hadapan Masjid Kenangan, Jalan Johor, Kampung Bukit Kenangan di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 5.16 petang.
Susulan itu katanya, enam anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 18 kilometer.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Kancil, van pekerja dan sebuah pacuan empat roda yang melibatkan lima mangsa.
“Nahas itu mengakibatkan pemandu kereta, Rulijah Ahmad, 51, dan penumpang, Salam Norazli, 15, meninggal dunia manakala seorang lagi penumpang, Osama Norazli, 9, cedera,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemandu van tersebut, B Chandran, 15, cedera manakala pemandu pacuan empat roda itu pula tidak diketahui keadaannya kerana semasa bomba tiba, orang awam sudah membawanya ke hospital.
Jelasnya, semua mangsa tidak tersepit, mereka yang cedera dihantar ke hospital berhampiran manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tidakan lanjut.
Pihaknya kemudian melakukan kerja-kerja pembersihan jalan dan operasi tamat pukul 7.01 petang.- MalaysiaGazette
















