JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, pertemuan baginda dengan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino pada hari ini adalah untuk mencari penyelesaian isu yang timbul.
Baginda bertitah: “Kita bukan berada di sini untuk saling menuding jari, kita berada di sini untuk mencari penyelesaian dan membina asas bola sepak yang kukuh untuk negara,”.
Kenyataan baginda itu turut dimuat naik dalam Facebook milik baginda hari ini.
Sebelum mengadakan pertemuan itu, Tunku Mahkota Ismail mengadakan sidang media di Subang Jaya, Selangor bagi membincangkan perkara-perkara penting berkaitan pembangunan serta hala tuju masa depan bola sepak Malaysia.
Menerusi sidang media itu, baginda menjangkakan FIFA tidak akan menarik balik hukuman yang dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan susulan kontroversi kelayakan pemain baru-baru ini.
Baginda yang juga tonggak utama dalam usaha reformasi bola sepak negara bertitah, walaupun hukuman itu mungkin diringankan, peluang untuk ia dibatalkan sepenuhnya adalah tipis.
“Saya tidak rasa FIFA akan ubah keputusan mereka. Paling tinggi pun hukuman itu mungkin diringankan. Mungkin mereka kenakan denda, potong mata Harimau Malaya atau gantung pemain yang terlibat,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa pasukan undang-undang masih giat berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut.
“Tidak kira apa keputusan nanti, pasukan undang-undang kita akan terus bekerja menyelesaikan isu ini. Sebab itu FAM masih meneruskan tindakan pada peringkat ini,” titahnya.- MalaysiaGazette
















