KUALA LUMPUR – ASEAN dan Korea Selatan mampu memainkan peranan penting dalam membentuk ketahanan serantau, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, pada 2024, perdagangan antara ASEAN dan Korea Selatan melebihi AS$200 bilion, sekali gus mencerminkan kekuatan dan daya tahan hubungan perdagangan antara kedua-dua pihak.
Di sebalik angka itu, ujarnya, ASEAN menawarkan peluang luas dalam pelbagai sektor yang disokong oleh daya saing dinamik dan berskala besar oleh lebih 600 juta penduduknya.
Sementara itu, tambah beliau, Korea Selatan pula menawarkan inovasi, teknologi dan ruang kreatif yang terus merubah landskap ASEAN dan dunia.
“Dengan menggabungkan potensi pertumbuhan ASEAN dan kekuatan Korea Selatan, kita dapat membentuk ekosistem yang mencipta peluang baharu, sekali gus memupuk pertumbuhan inklusif, pasaran terbuka dan rantaian bekalan yang stabil.
“Untuk memacu kemajuan ini, kita mesti membangunkan modal insan yang bersedia untuk masa depan supaya rakyat kita mampu memimpin perubahan, menjadi pencipta (innovator), usahawan dan pembina kemakmuran bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini, yang turut dihadiri Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung.
Sementara itu, Anwar berkata, selama lebih tiga dekad, hubungan dialog antara ASEAN dan Korea Selatan telah menjadi model kepercayaan, saling menghormati dan memberi manfaat secara bersama.
Jelasnya, perkongsian itu telah berkembang menjadi Perkongsian Strategik Kemprehensif (CSP) yang mencerminkan keyakinan antara satu sama lain dalam kerjasama kedua-dua pihak.
Malah, kata beliau, Pelan Tindakan (POA) ASEAN-Korea Selatan (ROK) 2026-2030 yang baru diterima pakai turut disifatkan membuka peta kerjasama yang sangat penting.
“Nilai sebenarnya terletak pada bagaimana kita menggunakannya untuk memandu arah kerjasama ini pada lima tahun akan datang,” katanya.
Korea Selatan memulakan hubungan dialog sektoral dengan ASEAN pada November 1989 dan telah dianugerahkan status Rakan Dialog Penuh pada Mesyuarat Menteri ASEAN ke-24 pada Julai 1991 di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette
















