JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kebijakan diplomasi, keberanian dan strategi berkesan mampu mengangkat negara kecil seperti Malaysia untuk dihormati kuasa besar.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, semua itu dibuktikan oleh Anwar dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) semasa lawatan presidennya, Donald Trump semalam.
“Selain AS menawarkan akses pasaran yang lebih baik dan terjamin kepada produk eksport Malaysia, mereka turut bersetuju menurunkan tarif daripada 25 kepada 19 peratus bagi produk Malaysia.
“Lebih membanggakan, Malaysia turut memperoleh pengecualian penuh daripada tarif 19 peratus bagi 1,711 talian tarif bernilai USD5.2 bilion, meliputi eksport utama seperti minyak sawit, produk getah, dan alat ganti pesawat,” katanya dalam kenyataan.
Faezuddin yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai berkata, pencapaian itu tidak akan tercapai tanpa kepimpinan dan kemahiran diplomasi luar biasa Anwar.
Beliau berkata, Anwar berjaya membawa Malaysia ke meja rundingan dengan keyakinan dan wibawa dalam keadaan dunia yang sarat dengan persaingan geopolitik serta tekanan perdagangan.
Hasil rundingan itu bakal memberi manfaat besar kepada sektor perkilangan, pertanian dan perusahaan kecil tempatan.
“Ia akan menguatkan keyakinan pelabur, menstabilkan eksport, dan membuka ruang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia terutamanya golongan muda,” katanya.- MalaysiaGazette















