PUTRAJAYA – Pihak pembelaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menghujahkan di Mahkamah Tinggi, tindakan saksi-saksi pendakwaan menyalahkan pihak lain akhirnya membawa padah apabila penipuan mereka didedahkan dalam perbicaraan tersebut.
Peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhujah, pendedahan itu boleh dilihat dengan jelas melalui keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd. Hazem Abdul Rahman serta bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir.
Hujah beliau, ketiga-tiganya cenderung meletakkan kesalahan kepada pihak lain semata-mata untuk melepaskan diri daripada sebarang kemungkinan dikenakan tindakan selain menyembunyikan jenayah yang mereka lakukan.
Wan Azwan berhujah, sebagai contoh, Shahrol Azral mendakwa bahawa eksibit P525, iaitu surat yang meminta pengeluaran segera surat sokongan bagi usaha sama 1MDB dengan Aabar Investments disediakan oleh peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.
“Bagaimanapun Jasmine Loo ketika memberikan keterangan, memberitahu mahkamah bahawa dia tidak ingat pernah menyediakan surat berkenaan.
“Perkara sama berlaku untuk beberapa dokumen lain yang kononnya mendapat persetujuan Kementerian Kewangan di bawah Seksyen 6 Akta Jaminan Pinjaman (Badan-Badan Korporat) 1965.
“Ketika Jasmine Loo masih bersembunyi, Shahrol Azral mendakwa bekas peguam itu mendapatkan tandatangan Datuk Seri Najib, namun perkara itu dinafikan oleh wanita itu,” hujah beliau.
Wan Azwan selanjutnya menghujahkan, berdasarkan corak yang muncul daripada keterangan saksi pendakwaan, ia boleh diringkaskan kepada tiga perkara utama iaitu meletakkan kesalahan kepada Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias (bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib) serta mengalihkan kesalahan kepada mereka yang telah melarikan diri, katanya.
Sementara itu, Wan Azwan turut menghujahkan bahawa tidak pernah berlaku sebarang pendekatan top-down dalam pentadbiran 1MDB seperti yang didakwa oleh pihak pendakwaan.
Pendekatan top-down merujuk kepada tindakan, keputusan atau perancangan yang bermula dari pihak atasan dan kemudian dilaksanakan oleh pihak bawahan.
Wan Azwan Aiman menegaskan, sebaliknya arahan yang diberikan oleh Najib kepada Lembaga Pengarah (BOD) adalah mengikut peruntukan Akta Syarikat 1965 dan berdasarkan kepada pembentangan dan representasi yang dibuat pihak pengurusan 1MDB.
Beliau berkata, penafian bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin berhubung kewujudan pendekatan itu disokong dengan dokumen yang dikemukakan sebagai eksibit di mahkamah.
Katanya, fakta menunjukkan usaha sama 1MDB dengan Aabar Investments telah pun dibincangkan dan dipersetujui oleh BOD sebelum wujudnya dakwaan terdapat pendekatan ‘arahan dari atas ke bawah’.
Mahkamah sedang mendengar penghujahan kes bekas Perdana Menteri yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama. – MalaysiaGazette
















