Sumber: DOSM

KUALA LUMPUR – Indeks nilai seunit eksport Malaysia pada September 2025 terus mencatatkan peningkatan 0.9 peratus daripada 152.9 mata pada bulan sebelumnya kepada 154.2 mata.

Sementara itu, indeks nilai seunit import menurun 0.2 peratus daripada 124.8 mata kepada 124.5 mata.

Walau bagaimanapun, terma perdagangan Malaysia bertumbuh 1.1 peratus bulan ke bulan daripada 122.5 mata kepada 123.9 mata pada September 2025.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan, kenaikan ini disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+3.4%), makanan (+0.8%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.7%).

Begitu juga, indeks volum eksport juga berkembang 4.7 peratus selaras dengan kenaikan dalam indeks alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+13.0%) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (+7.9%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim juga turut naik 0.9 peratus daripada 162.5 mata kepada 163.9 mata.

Merujuk kepada perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan indeks volum eksport meningkat 3.3 peratus dan 8.6 peratus.

Indeks nilai seunit import merosot 0.2 peratus pada September 2025, disumbangkan oleh penurunan dalam indeks minyak galian (-2.8%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-0.6%) dan barang-barang keluaran kilang (-0.4%).

Sementara itu, indeks volum import bertambah 3.2 peratus pada September 2025 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kenaikan dalam indeks minyak galian (+30.6%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+30.1%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+2.9%).

Indeks volum import pelarasan bermusim juga turut menaik 7.6 peratus daripada 205.8 mata kepada 221.4 mata.

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit menurun 2.1 peratus manakala indeks volum import menaik 9.5 peratus.

Terma perdagangan Malaysia meningkat 1.1 peratus bulan ke bulan kepada 123.9 mata pada September 2025, didorong oleh peningkatan dalam indeks minyak galian (+2.5%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+2.4%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+1.3%).

Tambahan pula, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun bertambah 5.5 peratus daripada 117.5 mata pada September tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast