Seorang wanita hamil dan lelaki bujang ditahan kerana berkhalwat di sebuah hotel di Johor, semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita yang sedang hamil anak luar nikah ditangkap berkhalwat dengan seorang lelaki bujang di sebuah daerah di negeri ini semalam.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan memaklumkan, serbuan dibuat pada pukul 8.15 pagi selepas mendapat aduan awam.

“Sampai di lokasi penguat kuasa mengetuk pintu dan dibuka lima minit kemudian oleh seorang wanita berpakaian skirt labuh dan t-shirt.

“Keadaan bilik terang dan ditemui seorang lelaki dipercayai baru bangun tidur dalam keadaan berpakaian seluar panjang dan t-shirt.

“Lelaki berumur 20-an masih bujang dan tinggal dengan keluarga manakala wanita umur 20-an, berstatus masih anak dara dan tidak bekerja,” menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Menurut JAINJ, lelaki tersebut hanya mengakui wanita itu adalah kawan biasa dan memberikan alasan untuk berehat seketika.

Jelas kenyataan itu, lelaki terbabit nampak ketakutan apabila mahu dibawa ke balai polis dan meminta tolong untuk tidak memberitahu keluarganya.

Pemeriksaan lanjut oleh penguat kuasa wanita mendapati wanita tersebut sedang mengandung lima atau enam bulan.

“Apabila ditanya adakah wanita itu mempunyai suami? Wanita tersebut mengaku telah terlanjur beberapa kali dengan lelaki lain yang tidak mahu bertanggungjawab dan meninggalkannya.

“Lelaki yang ditangkap khalwat bersama-sama wanita mengandung ini juga terkejut dan tidak mengetahui wanita tersebut hamil,” menurut kenyataan itu.

Pasangan itu ditangkap atas kesalahan khalwat Seksyen 27 dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast