Penang FC tewas kepada JDT 0-3 pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.- Foto ihsan Johor Southern Tigers.

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail menganggap semua pemainnya mempamerkan peningkatan dalam aspek taktikal permainan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan malam tadi.

Beliau tetap berpuas hati dengan kesebelasan pemainnya walaupun gagal mara ke separuh akhir Piala FA musim ini setelah tewas 0-3 (1-5 secara agregat) kepada JDT di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.

“Kami bermula agak baik, tapi selepas minit ke-30 macam fokus sedikit hilang dan kami dihukum dengan tiga jaringan mudah dalam tempoh lebih kurang lima minit dan untuk bangkit semula dalam tempoh itu memang agak sukar.

“Bagaimanapun, pada separuh masa kedua, pemain kelihatan kembali fokus dan dilihat benar-benar menikmati permainan bola sepak.

“Bagaimanapun, semua tahu JDT berada di tahap yang berbeza. Bukan mudah untuk mana-mana pasukan datang ke sini dan menewaskan mereka yang merupakan pasukan yang hebat dan terbaik di negara ini.

“Tetapi, kami tidak datang untuk menyerah kalah. Kami bermain, kami bersaing, dan saya gembira dengan cara pemain bertindak,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Beliau memuji corak permainan pasukannya yang mampu menyaingi intensiti JDT pada separuh masa kedua, termasuk usaha mengekang pergerakan bintang sayap tuan rumah, Arif Aiman Hanapi.

“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi Adib Raop yang berjaya mengawal Arif. Bukan mudah berdepan pemain seperti dia.

“Kita nampak Arif tidak boleh bergerak bebas malam ini. Dalam bola sepak, ia soal ruang dan masa. Kalau kita beri, kita akan dihukum. Pemain saya berjaya menutup ruang dan tidak memberi masa kepada lawan,” katanya.

Biarpun keputusan tidak memihak kepada Penang FC, beliau tetap positif dengan graf peningkatan pasukan yang semakin baik dalam beberapa perlawanan terakhir termasuk menentang Melaka, Negeri Sembilan, Kuching City dan kini JDT.

“Daripada segi keputusan, kita terima kekalahan ini dengan hati terbuka kerana kita tewas kepada pasukan yang hebat. Tapi dalam konteks prestasi, saya sangat gembira kerana pasukan berada dalam graf menaik.

“Cuma saya sedikit kecewa dengan gol kedua JDT, bola sudah keluar tetapi penjaga garisan tidak nampak. Apa pun, saya tidak pertikaikan keputusan itu kerana manusia tetap manusia, kesilapan boleh berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast