KUALA LUMPUR – Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa syarat dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat yang dimeterai pada 26 Oktober lalu.
Menurut beliau, perjanjian yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Donald Trump itu bukan satu perkara kecil yang boleh dipandang ringan.
“Saya sedang menelaah kandungan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-Amerika yang dimeterai pada 26 Oktober. Ia bukan main-main punya perjanjian,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Jelas Kadir, ada syarat-syarat tersembunyi dalam ART yang perlu diteliti kerajaan khususnya berkaitan program-program stesen televisyen tempatan yang didakwa memberi kelebihan besar kepada kandungan asing.
“Setakat ini, memadailah kalau saya kata, ada syarat-syarat dalam perjanjian itu yang bunyi seolah-olah kita sudah jadi tanah jajahan balik.
“Contohnya, syarat wajib berkenaan siaran televisyen. Ya, siaran dan program televisyen. Dalam Perkara 2.20 perjanjian Anwar-Trump itu, Malaysia wajib (shall) batalkan syarat lesen penyiaran yang memperuntukkan 80 peratus waktu kepada rancangan tempatan. Malaysia juga wajib benarkan penyiaran program asing pada waktu kemuncak (prime time),” katanya.
Beliau berkata, perjanjian ART tersebut jelas mengatakan Malaysia hendaklah menghapuskan keperluan dalam perjanjian pelesenan penyiaran yang mewajibkan stesen penyiaran memperuntukkan 80 peratus masa siaran terestrial kepada program tempatan Malaysia.
Malah Malaysia juga hendaklah membenarkan penyiaran program asing pada waktu perdana yang tertakluk dalam Perkara 2.20: Penyiaran.
Tambahnya, peruntukan itu hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan perjanjian, yang turut melibatkan syarat kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLIC dan GLC) supaya membeli lebih banyak produk keluaran Amerika Syarikat serta meningkatkan pelaburan di negara itu.
“Pakar dalam hal perdagangan antarabangsa dan tarif boleh tolong buat kira-kira mana lebih baik bagi Malaysia, tarif 25 peratus tanpa perjudikan kedaulatan atau tarif 19 peratus tapi kena ikut telunjuk Amerika? Terima kasih,” katanya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini berkata, Malaysia tidak mempunyai pilihan selain meneruskan rundingan dengan AS bagi mempertahankan kedaulatan, kepentingan dan ekonomi negara susulan tindakan Washington mengenakan tarif unilateral terhadap barangan import termasuk dari Malaysia.
Jelasnya, rundingan yang diadakan bukan atas kehendak Malaysia sebaliknya dilakukan bagi menangani langkah tarif yang turut menjejaskan ratusan negara lain yang berdagang dengan AS. – MalaysiaGazette
















