SYDNEY – Seorang wanita warga emas Australia ditemui meninggal dunia di Pulau Lizard di perairan terumbu terbesar selepas ditinggalkan kapal persiaran yang dinaikinya.
Wanita berusia 80 tahun itu dilaporkan sedang mendaki di Pulau Lizard, kira-kira 250 kilometer di utara Cairns, bersama beberapa penumpang lain dari kapal persiaran Coral Adventurer pada hari Sabtu lalu, namun dipercayai telah berpisah daripada kumpulan ketika berehat.
Kapal tersebut dikatakan meninggalkan pulau itu ketika matahari terbenam tetapi berpatah balik beberapa jam kemudian selepas kru menyedari wanita berkenaan hilang.
Operasi pencarian besar-besaran dijalankan, dan mayat mangsa ditemui pada pagi Ahad.
Tiada butiran lanjut didedahkan mengenai punca kematian.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) sedang menyiasat insiden berkenaan dan akan bertemu dengan kru kapal dalam minggu ini.
Difahamkan, wanita yang tidak dinamakan itu sedang dalam persinggahan pertama pelayaran selama 60 hari mengelilingi Australia, dengan tiket bernilai puluhan ribu dolar Australia.
Menurut laporan Courier Mail, wanita itu menyertai aktiviti mendaki ke puncak tertinggi pulau tersebut, Cook’s Look, sebelum memutuskan untuk berhenti berehat.
Seorang wanita, Traci Ayris, yang sedang belayar berhampiran pulau itu hujung minggu lalu memberitahu Australian Broadcasting Corporation, dia melihat sebuah helikopter menggunakan lampu sorot untuk mencari mangsa di laluan mendaki sekitar tengah malam Sabtu.
Beliau berkata, kira-kira tujuh orang dengan lampu suluh turut menyertai pencarian di pulau itu, namun operasi dihentikan sekitar jam 3 pagi Ahad.
Helikopter kembali pada pagi Ahad, ketika mayat wanita itu dipercayai ditemui.
“Kami tahu dia telah meninggal dunia kerana semua orang dipanggil balik daripada operasi mencari serta-merta. Tiada siapa dibenarkan pergi ke kawasan di mana helikopter berlegar sehingga polis tiba,” katanya.
Jurucakap AMSA berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan wanita itu sekitar jam 9 malam Sabtu daripada kapten kapal.
Pihak berkuasa menegaskan mereka akan bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan dalam siasatan dan menekankan bahawa keselamatan penumpang serta kru kapal komersial adalah keutamaan mereka. – Agensi
















