Mohamad Fazli menyempurnakan Majlis Perasmian Penyerahan Projek VMS di KSAB, Gelang Patah, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Jumlah rakyat Malaysia yang berdaftar dalam Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) kod QR laluan di pintu masuk sempadan Johor-Singapura masih lagi rendah.

Justeru Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh menggesa lebih ramai rakyat Malaysia memuat turun aplikasi MyNIISe dan mendaftar memandangkan sistem itu boleh digunakan untuk kereta, motosikal dan bas.

Beliau memberitahu, setakat hari ini, secara keseluruhan seramai 358,000 rakyat Malaysia dan Singapura telah pun mendaftar untuk menggunakan sistem itu.

“Saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan turut serta (mendaftar). Bagi laluan motosikal yang mula dilaksanakan pada 15 Oktober lalu, kira-kira 15,000 rakyat Malaysia dan 800 warga Singapura telah menggunakan sistem ini

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan hampir 16,000 pengguna dalam dua minggu pertama,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Penyerahan Projek Variable Message Signage (VMS) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah hari ini.

Mohamad Fazli berkata, terdapat tujuh lorong motosikal keluar (outbound) dilengkapi sistem MyNIISe di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, manakala di KSAB terdapat empat lorong masuk dan empat lorong keluar.

Katanya, lorong motosikal masuk (inbound) tambahan di BSI juga sedang dipasang sistem MyNIISe dan setakat ini, pengguna memberi maklum balas yang positif terhadap kemudahan berkenaan.

Percubaan sistem kod QR bagi proses pelepasan imigresen di laluan motosikal dan pejalan kaki di dua pintu masuk darat Johor ke Singapura bermula pada 15 Oktober manakala percubaan bagi laluan kereta bermula pada 22 September lalu.

Sementara itu, Mohamad Fazli berkata, projek penggantian dan penambahan papan tanda elektronik atau Variable Message Signage (VMS) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) berjaya disiapkan tiga bulan lebih awal daripada jadual asal.

Projek bernilai RM3.6 juta itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang sepatutnya siap pada Disember inib namun berjaya disiapkan pada September lalu.

Menurutnya, sebanyak 14 unit papan tanda elektronik dipasang di kawasan kompleks berkenaan bagi menambah baik sistem penyampaian maklumat di pintu masuk negara tersebut.

“Sebelum ini kita menggunakan kaedah manual seperti banner dan banting, namun dengan adanya VMS ini, segala maklumat boleh dipaparkan secara elektronik. Sistem ini juga boleh digunakan untuk menyambut kedatangan pelancong termasuk sempena Tahun Melawat Johor 2026,” katanya.

Selain KSAB, sistem VMS juga akan dipasang di BSI melalui projek penggantian baharu yang sedang berjalan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast