Antara barang yang dirampas selepas menahan dua suspek lelaki yang meragut seorang wanita di Taman Seri Orkid, Skudai, Johor Bahru semalam.

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan dua lelaki yang bersenjatakan parang kerana disyaki meragut rantai emas milik seorang wanita Filipina di hadapan rumahnya di Taman Seri Orkid, Skudai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 8.40 pagi ketika mangsa yang berusia 40 tahun sedang berada di hadapan rumahnya.

“Mangsa didatangi dua suspek yang menaiki sebuah motosikal. Seorang daripada suspek turun dari motosikal dan bertindak mengacu sebilah parang ke arah mangsa serta meragut rantai emas di lehernya sebelum melarikan diri.

“Laporan polis kejadian tersebut dibuat pukul 11.10 pagi. Bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri menjalankan operasi mengesan antara pukul 3 hingga 4.50 petang,” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua suspek yang berusia 29 dan 43 tahun diberkas di kawasan Skudai di sini mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.

Menerusi tangkapan tersebut katanya, polis merampas seutas rantai leher warna kekuningan, satu loket kekuningan, dua topi keledar, sebuah motosikal dan dua helai baju semuanya bernilai RM8,600.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 5 November ini untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dibuat bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan. Kes dapat diselesaikan tidak sampai 24 jam berlaku,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast