Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan tidak bersikap defensif dalam menangani isu gangguan perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) namun menjelaskan tidak semua gangguan berpunca daripada masalah teknikal.

Menterinya, Anthony Loke berkata, hasil semakan awal mendapati sebahagian insiden berlaku disebabkan faktor luaran termasuk tindakan penumpang yang cuba menghalang pintu tren daripada ditutup sehingga mengakibatkan gangguan operasi.

“Saya tidak bersikap defensif dan tidak mempertahankan MAHB. Saya mahu tindakan tegas diambil jika terbukti wujud kesilapan. Untuk berlaku adil kepada MAHB, kita perlu siasat dengan teliti kerana tidak semua gangguan berpunca daripada masalah teknikal.

“Ada kejadian disebabkan penumpang yang cuba menghalang pintu daripada ditutup dan itu juga menyebabkan gangguan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Anthony, walaupun aerotrain mencatat kadar operasi melebihi 99.2 peratus jumlah gangguan yang berlaku dalam tempoh empat bulan tetap tidak boleh diterima.

“Mereka mencapai kadar operasi 99 hingga 99.2 peratus tetapi kita masih tidak berpuas hati kerana dalam tempoh empat bulan sudah banyak kali berlaku gangguan.

“Walaupun sistem ini masih baharu, gangguan seperti itu tetap tidak boleh diterima,” tambahnya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga telah membuka kertas siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi mengenal pasti punca sebenar setiap gangguan yang berlaku.

“Kita perlu menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan. Sebarang tindakan hanya boleh diambil selepas siasatan selesai, berdasarkan setiap insiden yang berlaku.

“Jika terbukti kesalahan, penalti maksimum RM250,000 boleh dikenakan bagi setiap gangguan,” jelas Anthony.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak mempertahankan MAHB dan menuntut tindakan sewajarnya diambil sekiranya wujud kecuaian atau kegagalan dalam penyelenggaraan sistem tersebut.

Dalam masa sama, perkhidmatan bas ulang-alik (shuttle bus) kekal beroperasi sebagai pelan sandaran bagi memastikan pergerakan penumpang tidak terjejas sekiranya berlaku gangguan Aerotrain.

“Saya telah arahkan MAHB supaya walaupun aerotrain beroperasi semula, shuttle bus tidak boleh dihentikan. Ia mesti kekal sebagai pelan alternatif yang boleh diaktifkan serta-merta apabila berlaku gangguan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast