Mohd Idris Mohd Jiat

JOHOR BAHRU – Kerajaan digesa mengharamkan permainan dalam talian ‘Roblox’ kerana berbahaya dan membawa pengaruh negatif dalam kalangan kanak-kanak.

Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Mohd Idris Mohd Jiat berkata, gesaan itu dibuat susulan kebimbangan masyarakat terhadap kandungan dan interaksi dalam platform permainan berkenaan yang didakwa semakin tidak terkawal.

Bukan itu sahaja tetapi permainan tersebut berpotensi membawa kepada kerosakan akhlak dan perkembangan sosial anak-anak.

“Amanah Johor berpandangan Kerajaan Madani perlu bertindak tegas dan berani dalam menangani sebarang bentuk hiburan digital atau permainan dalam talian yang mempunyai unsur negatif seperti keganasan, penyamaran identiti, kandungan lucah atau eksploitasi kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, kerajaan juga perlu memastikan dasar perlindungan digital terhadap kanak-kanak dilaksanakan dengan serius.

Menurutnya, ini termasuk memperkenalkan garis panduan dan sekatan umur yang jelas terhadap sebarang bentuk permainan atau platform interaktif yang boleh diakses secara terbuka.

Selain itu katanya, Amanah Johor mendesak supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mempertingkatkan pemantauan terhadap aktiviti jenayah siber yang membabitkan kanak-kanak serta remaja di ruang maya, termasuk kes eksploitasi, buli siber serta pendedahan terhadap kandungan tidak bermoral.

“Kanak-kanak adalah aset masa depan negara. Maka, setiap bentuk hiburan atau platform digital yang boleh menggugat akhlak, keselamatan dan perkembangan mental mereka perlu disemak serta dikawal dengan tegas dan berkesan.

“Kami menegaskan tanggungjawab membentuk generasi berakhlak dan beradab bukan hanya terletak di bahu ibu bapa tetapi juga bawah tanggungjawab kerajaan, agensi penguatkuasa, dan penyedia platform digital,” tegasnya.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera dikelar di leher di Batu Pahat dan polis tidak menolak kemungkinan insiden itu dipengaruhi permainan ‘Roblox’.

Kecederaan kanak-kanak itu disyaki dilakukan abang kepada kanak-kanak terbabit yang berusia sembilan tahun.

Itu merupakan kes kedua selepas seorang remaja perempuan maut dibunuh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah di Petaling Jaya, Selangor, yang turut dikatakan akibat terpengaruh dengan permainan video dalam talian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast