KLUANG – Seramai 10 lelaki ditahan kerana positif dadah methamphetamine dan tetrahydrocannabinol (THC) dalam operasi sekitar Simpang Renggam dan bandar Kluang dari Selasa hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, semua tangkapan berusia antara 23 hingga 47 tahun, hasil saringan ujian air kencing terhadap seramai 33 individu yang diperiksa dalam operasi khas bersepadu itu.
“Sepanjang operasi selama tiga hari itu seramai 101 individu dengan 93 buah kenderaan diperiksa.
“Sebanyak 40 saman Polis Diraja Malaysia (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, menerusi pemeriksaan keatas 101 individu dan 93 kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, operasi seperti itu akan kerap diadakan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin dan tidak berlaku sebarang kecelakaan.
Pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah untuk menghubungi IPD Kluang 07-7784222; direct line07-7784256; hotline 07-7766822 atau tablet DCC 014-365682. – MalaysiaGazette
















