TKRS SK Datuk Usman Awang muncul johan Pertandingan Kawad Kaki TKRS Lelaki Peringkat Kebangsaan 2025 di Dataran Pahlawan, Putrajaya baru-baru ini.

KOTA TINGGI – Pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Usman Awang di sini mengharumkan nama Johor apabila muncul johan Pertandingan Kawad Kaki TKRS Lelaki Peringkat Kebangsaan 2025 di Dataran Pahlawan, Putrajaya baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu menyaksikan pasukan Johor menewaskan pasukan lain dari seluruh negara hasil persembahan mantap serta disiplin tinggi yang dipamerkan sepanjang acara berlangsung.

Pasukan terdiri daripada 20 murid gabungan tiga sekolah, iaitu SK Datuk Usman Awang 13 murid, Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kota Tinggi 5 murid dan SK Laksamana 2 murid.

Lebih manis, Muhammad Adam Mukhriz Nazli turut dinobatkan sebagai Ketua Platun Terbaik peringkat kebangsaan, sekali gus mengiktiraf kewibawaan kepimpinannya mengemudi pasukan.

Pasukan TKRS Johor ini sebelum itu menjuarai peringkat daerah Kota Tinggi dan peringkat negeri Johor, sebelum mewakili negeri ke pentas kebangsaan dan sekali lagi muncul juara.

Kejayaan ini hasil bimbingan dua jurulatih berpengalaman, Mejar KRS Mohd Najib Hussin dan Ustaz Muhammad Zulfathi Yahaya, yang juga Guru Pendidikan Islam SK Datuk Usman Awang.

Latihan intensif dijalankan selama tiga bulan setengah bermula pertengahan Jun hingga akhir September bagi memastikan pasukan benar-benar bersedia menghadapi cabaran.

Menurut Guru Besar SK Datuk Usman Awang, Rashidah Abdul Rashid, kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat seluruh warga sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa serta komuniti setempat.

“Walaupun berdepan cabaran cuaca tidak menentu dan jadual sekolah yang padat, semangat juang dan disiplin tinggi murid menjadi kunci utama kejayaan ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pembentukan sahsiah pelajar yang terpuji serta memperkukuh semangat berpasukan dalam kalangan murid.

Program kecemerlangan kokurikulum seperti ini sejajar dengan hasrat KPM untuk melahirkan generasi Madani yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, berakhlak mulia serta memiliki daya kepimpinan unggul.

“Semoga kejayaan ini menjadi bara yang terus membakar semangat dan membangkitkan iltizam murid-murid Johor untuk mengoptimumkan potensi diri, mendaki mercu kegemilangan dan mengharumkan nama negeri di persada kebangsaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast