KUALA LUMPUR – Jenazah seorang lelaki rakyat Malaysia yang maut selepas ditembak lapan kali di rumahnya di Sungai Golok, Thailand, semalam, akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Kepas Apam, Pasir Mas tengah hari ini untuk urusan pengebumian.
Mangsa, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, meninggal dunia pada jam 9 malam tadi ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok akibat kecederaan parah selepas ditembak individu yang dikenali.
Ibunya, Zaiton Abdul Rahman berkata, beliau menerima khabar duka itu daripada menantunya, Wan Fatihah Mat Hussin kira-kira sejam selepas dimaklumkan anaknya cedera ditembak.
“Saya tahu Fuad ditembak kira-kira jam 8 malam dan ketika itu dia masih dirawat di hospital.
“Namun tidak lama selepas itu, menantu saya hubungi semula memaklumkan dia sudah meninggal dunia. Saya terkejut, tapi reda dengan ketentuan Allah,” katanya seperti yang dilaporkan media, hari ini.
Menurut Zaiton, jenazah anaknya dijangka tiba di kampung tengah hari ini selepas urusan dokumentasi dan bedah siasat di hospital selesai.
Terdahulu, media melaporkan kejadian berlaku selepas mangsa dipercayai bertengkar dengan seorang lelaki berhubung isu hutang sebelum suspek melepaskan lapan das tembakan ke arahnya.
Suspek kemudiannya melarikan diri dan meninggalkan sepucuk pistol di lokasi kejadian.
Polis Thailand kini giat menjalankan operasi memburu suspek dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan bagi menyiasat motif sebenar insiden tersebut.
Siasatan awal mendapati kes tersebut berpunca daripada masalah hutang hasil temubual dengan beberapa saksi yang berada berhampiran lokasi. -MalaysiaGazette
















