GEORGE TOWN – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di Bukit Mertajam yang bakal beroperasi tahun depan akan menonjolkan pendidikan Islam berteraskan dakwah, keharmonian dan penguasaan pelbagai bahasa termasuk Tamil dan Mandarin.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sekolah berkenaan dinamakan sempena tokoh pemikir serta pendakwah tersohor dari Pulau Pinang yang banyak menyumbang kepada gerakan pembaharuan Islam di negara ini.
Beliau berkata, pendekatan sekolah itu bukan sekadar menumpukan kepada aspek akademik dan tahfiz semata-mata, sebaliknya membentuk pelajar yang mampu berdakwah dengan bijaksana dalam masyarakat berbilang kaum.
“Sekolah ini akan memberi tumpuan kepada kekuatan Islam dalam masyarakat majmuk dan menampilkan pendekatan Islam yang ramah, harmoni serta menghormati kepelbagaian.
“Antara keunikan sekolah ini ialah penekanan terhadap penguasaan bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Tamil dan Mandarin bagi membolehkan pelajar berkomunikasi dan berdakwah secara berhemah.
“Ia juga seiring dengan kejayaan program Tahfiz Model Ulul Albab yang menekankan keseimbangan antara ilmu, akhlak dan kemahiran pelbagai bidang,” katanya selepas merasmikan Wacana Fikrah Siddiq Fadzil sempena Muktamar Wadah negeri Pulau Pinang di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang, hari ini.
Tambah Fadhlina, pembinaan sekolah bernilai RM64 juta itu turut dilengkapi kemudahan moden serta mesra orang kelainan upaya (OKU).
“Bangunan sekolah merangkumi blok akademik, pentadbiran, dewan serbaguna, sembilan makmal sains, dua makmal komputer, enam bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), surau, kantin, padang serta tiga gelanggang permainan.
“Turut disediakan asrama lelaki dan perempuan, rumah warden serta dewan makan bagi menyokong keperluan pembelajaran holistik,” katanya. – MalaysiaGazette
















