Logo AKPS
Gambar hiasan

MELAKA – Bekas komando yang layak menyertai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), dijangka mampu menyumbang sekurang-kurangnya 20 tahun perkhidmatan kepada agensi berkenaan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pemilihan 220 komando untuk menyertai AKPS, membabitkan kalangan mereka yang akan menamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan berusia sekurang-kurangnya 40 tahun.

“Mereka (komando terpilih ini) akan tamat perkhidmatan dan selepas tamat perkhidmatan (mereka), kita akan serapkan mereka ke AKPS.

“Kebanyakan mereka itu secara umumnya berumur 40 tahun, jadi mereka masih boleh memberi khidmat dalam tempoh 20 tahun ke depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Santuni MADANI ATM Melaka di Masjid Raudhatul Jannah, Bukit Katil di sini hari ini.

Adly berkata anggota komando yang dipilih, membabitkan Gerup Gerak Khas (GGK), Paratrooper (PARA), Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Pasukan Khas Udara (Paskau).

Beliau berkata anggota pasukan elit negara itu juga, mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh digunakan untuk menyumbang kepada kawalan sempadan dengan lebih berkesan.

“Kalau kita lihat anggota komando dan juga anggota-anggota yang terlatih ini, mereka banyak terlibat di kawasan strategik negara (ketika dalam perkhidmatan tentera), jadi sebab itu kita cadangkan mereka boleh memberikan khidmat terbaik di pintu-pintu masuk negara,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 memaklumkan keutamaan akan diberikan bagi melantik pegawai dalam kalangan veteran tentera untuk memenuhi keperluan 220 tenaga kerja diperlukan AKPS bagi kesiapsiagaan penuh agensi itu.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast