Foto: FB Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia - JMG

KUALA LUMPUR – Gempa bumi lemah yang direkodkan di Segamat, Johor malam tadi diklasifikasikan sebagai gempa cetek setempat (local shallow earthquake) dan tidak menimbulkan ancaman besar kepada keselamatan awam atau struktur.

Bagaimanapun, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menjelaskan, gempa bumi berskala 2.7 pada skala Richter itu turut menyebabkan berlaku gegaran yang dapat dirasai di sekitar Segamat dan kawasan berhampiran.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya, semakan melalui Peta Geologi Malaysia (MyGEMS) JMG menunjukkan kawasan kejadian terletak dalam unit Tertier (Tertiary Geological Lithostratigraphic Unit) yang terdiri daripada lava aliran (extrusive lavaflows) serta endapan cekungan benua berusia Tertier lewat yang mengandungi batu syal, batu pasir, konglomerat dan lapisan arang minor.

Ciri-ciri geologi itu menunjukkan sejarah aktiviti gunung berapi purba di kawasan Segamat, khususnya di sekitar Jementah dan Batu Badak, yang kini dikenal pasti sebagai volkanik terubahsuai (altered volcanics).

Malah, tambahnya, kejadian terbaru malam tadi itu bukanlah yang pertama direkodkan di kawasan berkenaan.

“Berdasarkan rekod JMG dan MetMalaysia, gempa berskala 4.1 pernah dikesan berhampiran lokasi yang sama sebelum ini.

“Kedua-dua kejadian ini berpusat di sekitar zon volkanik Tertier Segamat, yang memperlihatkan potensi pengaktifan semula tekanan tektonik setempat pada batuan dasar lama akibat penyesuaian semula tekanan kerak bumi.

“Kedudukan pusat gempa terkini ini adalah hampir bertepatan dengan kejadian gempa berskala 4.1 yang pernah direkodkan sebelum ini, menandakan kemungkinan aktiviti seismik mikro berulang di sepanjang jalur sesar yang sama,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Sementara itu, JMG akan terus bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi pemantauan lanjut aktiviti seismik dan geologi tempatan, termasuk penilaian terhadap struktur bawah permukaan, taburan rekahan batuan dan kesan terhadap kestabilan cerun atau tapak bina.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak panik dan boleh melaporkan sebarang kesan gegaran melalui MetMalaysia.

Terdahulu, MetMalaysia melaporkan satu gempa bumi lemah berlaku di Jementah, Segamat, Johor pada pukul 7.55 malam tadi.

Gempa berukuran magnitud 2.7 pada skala Richter dengan kedalaman 10 kilometer itu dikenal pasti berpusat pada koordinat 2.5 darjah Utara dan 102.8 darjah Timur, iaitu kira-kira tiga kilometer di barat Segamat.

MetMalaysia dalam kenyataannya turut memaklumkan gegaran dirasai di sekitar Segamat dan kawasan berhampiran.

Menurut rekod, gempa pertama berlaku di Segamat dengan kekuatan 4.1 dan 2.8 magnitud pada 24 Ogos diikuti 3.2 magnitud pada 27 Ogos; 2.5 magnitud (28 Ogos) dan 3.4 magnitud (29 Ogos).

Sementara itu, gempat bumi turut direkodkan di Batu Pahat sebelum ini dengan kekuatan 2.7 dan 2.9 magnitud pada 30 dan 31 Ogos lalu dan terakhir 2.9 magnitud (3 September). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Gempa bumi lemah kembali melanda Segamat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast