BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki warga Nepal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah 1 di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh ibu dan anak di Kampung Sekolah Juru, bulan lalu.
Bagaimanapun, pertuduhan tidak dibacakan selepas mahkamah dimaklumkan tertuduh, Dinesh Kumar Mandal, 35, memerlukan jurubahasa.
Susulan itu, prosiding yang berlangsung di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Akit ditangguhkan bagi lantikan jurubahasa pada 26 November depan.
Dinesh sepatutnya berdepan dua pertuduhan membunuh Sariya Che Hin, 51, dan Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, antara jam 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam pada 18 Oktober lalu di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru di sini.
Kedua-dua kesalahan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadli Hassan dan Anis Suhada Rosli manakala tiada peguam mewakili tertuduh.
Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
ARTIKEL BERKAITAN:
Dua beradik Nepal antara direman, motif bunuh dua beranak bakal terungkai
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan dendam motif pembunuhan dua beranak tersebut.
Dalam kejadian pada 18 Oktober lalu, Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemui mati dalam keadaan tragis di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru di sini.
Mayat Sariya dijumpai di dapur dengan kepala hampir putus, manakala anaknya ditemui meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah separa kayu berkenaan.
Mayat mereka ditemui oleh suami mangsa sekitar jam 7.30 malam.
Susulan itu, polis menahan lapan lelaki termasuk suami wanita itu bagi membantu siasatan, namun tujuh daripada mereka dibebaskan dengan jaminan. – MalaysiaGazette
















