KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin menzahirkan kebimbangan terhadap Perjanjian Timbal Balas Perdagangan (ART) yang ditandatangani oleh Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia pada Oktober lalu.
Menurutnya, perjanjian tersebut berpotensi memberikan kesan yang buruk terhadap sektor pertanian tempatan khususnya sektor pengeluaran ayam, telur dan produk tenusu.
Tambahnya lagi, walaupun beberapa pihak menganggap perjanjian itu satu kejayaan dari pengurangan tarif eksport namun mereka tidak menilai kesan timbal balik apabila melonggarkan sekatan terhadap import produk pertanian dari AS.
“Pada artikel 2.3 dalam perjanjian tersebut, Malaysia bersetuju untuk memberikan akses pasaran yang signifikan kepada produk AS termasuk produk pertanian tenusu, ayam dan beras sebagai imbalan untuk pengurangan tarif terhadap eksport AS ke Malaysia.
“Jika produk AS mendapat kemudahan masuk ke pasaran Malaysia dengan tarif rendah atau halangan bukan-tarif dikurangkan, pengeluar tempatan akan berhadapan persaingan tambahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bakri menjelaskan, kos pengeluaran ayam dan telur amat tinggi dengan mencatatkan 65 hingga 75 peratus kos datang daripada makanan ternakan yang diimport menjadikan industri tersebut mudah terjejas dengan pesaing yang lain.
Beliau turut menegaskan dengan membuka pasaran yang luas kepada produk luar boleh menjejaskan keterjaminan makan negara sekiranya berlaku gangguan bekalan antarabangsa atau kenaikan harga dunia.
Selain itu, katanya, Malaysia juga tidak boleh mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap produk pertanian daripada AS yang boleh mencetuskan diskriminasi terhadap pengimport lain serta mengancam daya saing tempatan.
“Dalam perjanjian perdagangan ini sebanyak 46 kali disebut ‘Malaysia shall’ (Malaysia wajib untuk) sementara hanya tiga kali sahaja menyebutkan ‘U.S shall’ (U.S wajib untuk) menggambarkan perjanjian ini sebagai berat sebelah dan merugikan Malaysia,” tambahnya.
Sehubungan dengan itu, Bakri menyeru rakyat dan kerajan agar meneliti semula serta pertimbangkan untuk batalkan perjanjian ini yang disifatkannya akan merugikan dan mengancam kedaulatan negara. – MalaysiaGazette
















