KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi negara terhadap penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D).
Ini berikutan daripada pemeteraian sembilan kerjasama strategik industri pada Festival of Ideas (FOI) yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC), hari ini.
Majlis pertukaran memorandum tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian.
Menurut UPNM, kerjasama ini merangkumi pelbagai bidang strategik termasuk pertahanan, tenaga boleh diperbaharui dan lain-lain yang selari dengan aspirasi Pelan Strategik UPNM30.
Tambahnya, antara inisiatif yang diutamakan ialah kerjasama bersama Synergy Generated Sdn. Bhd. bagi melaksanakan pembangunan sistem tenaga solar menyeluruh di kampus UPNM.
“Projek ini turut merangkumi latihan industri, penyelidikan bersama pelan jangka panjang penjanaan tenaga hijau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, katanya, kerjasama dengan Ketech Asia Sdn. Bhd. akan memacu projek ‘Nurturing a Greaan Future’, bagi membangunkan propelan mesra alam.
“Langkah ini dengan menggunakan sisa kelapa sawit bagi memperkukuhkan kebergantungan kendiri teknologi pertahanan negara,” ujarnya
Jelasnya, keseluruhan kerjasama ini akan memberikan manfaat kepada ekosistem penyelidikan dan pembangunan negara termasuk peningkatan keupayaan penyelidikan, pemindahan teknologi dan komersialisasi inovasi, serta pembangunan modal insan berkualiti tinggi.
UPNM menegaskan kerjasama strategik ini menjadi satu langkah signifikan untuk menjadikan UPNM sebagai Universiti Pertahanan Unggul Serantau menjelang tahun 2030. – MalaysiaGazette
















