Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi kira-kira RM31 juta kepada keluarga Pastor Raymond Koh kerana terlibat dalam penculikannya, lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Su Tiang Joo mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi tersebut iaitu RM10,000 sehari bermula kehilangannya pada 13 Februari 2017 hingga polis mendedahkan keberadaannya.

Raymond diculik ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya. Sehingga kini, beliau hilang selama 3,188 hari.

Mahkamah memutuskan satu atau lebih defendan yang terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terlibat dalam penculikan Raymond dan bertindak mengikut ‘satu arahan’.

Hakim juga memerintahkan kos RM250,000 dibayar kepada plaintif.

Beliau turut memerintahkan polis membuka semula siasatan kes dan melaporkan kemajuannya kepada Peguam Negara setiap dua bulan.

Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa lima lelaki bertopeng dengan pakaian seragam tentera berwarna hitam menarik Raymond keluar dari keretanya.

Isterinya, Susanna Liew memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan atas penglibatan kerajaan dalam kehilangannya serta cara pihak berkuasa menyiasat kes itu.

Pada 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memutuskan Raymond dan seorang aktivis, Amri Che Mat merupakan mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh anggota Cawangan Khas Bukit Aman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast