JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mencekup tiga pasangan termasuk janda dalam tiga serbuan berbeza di kondominium mewah di sini awal pagi ini.
JAINJ dalam kenyataan memberitahu, tangkapan itu dibuat antara pukul 12 malam hingga 3 pagi tadi dan merupakan hasil aduan awam orang ramai.
“Kes pertama membabitkan pasangan bujang dan wanita berstatus janda ditahan di sebuah kondominium mewah di persiaran Danga Bay.
“Lelaki berstatus bujang berumur 30-an manakala wanita berstatus janda berumur 40-an. Lokasi adalah rumah sewa wanita itu manakala lelaki kerap datang berkunjung.
“Kebiasaannya lelaki akan terus tidur bermalam kerana tempat ini dianggap selamat daripada pemeriksaan penguat kuasa,” menurut kenyataan hari ini.
JAINJ turut memaklumkan dua pasangan lain ditahan juga di sebuah kondominium di Larkin.
Tambah kenyataan itu, kedua-dua pasangan ditahan penguat kuasa JAINJ dalam bilik bersama-sama pasangan masing-masing.
“Mereka menyewa rumah secara berpasangan dan tinggal seperti suami isteri tanpa nikah.
“Pasangan pertama berstatus bujang dan anak dara, masing-masing berusia 20-an serta bekerja di Johor Bahru,” jelas kenyataan berkenaan.
JAINJ memaklumkan, satu lagi pasangan berstatus bujang dan anak dara berusia 20-an adalah warganegara Malaysia yang ulang alik bekerja di Singapura.
“Tangkapan ini membuktikan, penguat kuasa JAINJ tetap melakukan serbuan walaupun melibatkan kondominium mewah. Janganlah anggap kediaman berkenaan sebagai tempat selamat untuk melakukan maksiat,” ujar JAINJ.
Kesemua pasangan ditangkap atas kesalahan khalwat Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette
















