Sesi temubual bersama Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada Program SkopMG di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 NOVEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Saya rela berkorban dan jika inilah natijahnya saya rela, kata Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Beliau berkata, isu dalaman dalam partinya, Bersatu hanya satu iaitu menuntut untuk presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur demi menyelamatkan parti itu daripada masalah lebih besar.

“Saya terima penggantungan ini walaupun tiada kesalahan nyata yang dilakukan kerana semuanya secara tertutup sebelum ini.

“Namun seperti saya katakan sebelum ini.. pintu untuk saya dan beberapa kepimpinan lain untuk berjumpa Tan Sri telah disekat oleh beberapa individu.

“Kami ingin berjumpa dan menyampaikan hasrat akar umbi untuk melihat parti kita terus disokong,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program SKOP MG.

Jelas Wan Ahmad Fayhsal lagi, pengunduran Muhyiddin bukan mahu bermaksud bersara tetapi diberikan jawatan lain yang selayaknya untuk terus mengemudi parti.

“Beliau boleh menjadi pengerusi dan terus memerhati parti ini agar tetap berada pada landasan yang betul. Bukan ada maksud lain. Ramai yang tanya kenapa kedudukan presiden perlu diberikan kepada orang lain iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin?

“Jawapannya mudah.. kerana beliau adalah orang nombor dua dalam parti dan paling penting rakan kami iaitu Pas juga tidak ada masalah malah menyokong jika ia diberikan kepada Hamzah,” katanya lagi.

Namun menurut Wan Ahmad Fayhsal, perkara itu telah disalah erti.

“Sejujurnya, pada usia 78 tahun, kami merasakan beliau (Muhyiddin) sudah tidak mampu mengemudi Bersatu.

“Parti ini perlu diterajui dengan sosok yang agresif dan memastikan ia bukan hanya diterima oleh ahli akar umbi tetapi juga pada pihak di sebelah sana,” katanya.

Sesi temubual bersama Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada Program SkopMG di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI.

Wan Ahmad Fayhsal turut mengakui akan meneruskan ‘kempen’ turun Muhyiddin dan berharap semua pihak boleh lihat masa depan parti ini berbanding mengikut emosi semata-mata.

“Kebanyakan ahli Parlimen Perikatan Nasional berada di belakang Hamzah dan bukan Muhyiddin. Kerana itu, sasaran utama Bersatu selepas ini adalah Hamzah. Kami ini adalah permulaan sahaja.

“Jika Muhyiddin tidak mendengar dengan betul suara akar umbi dan mengambil kira apa yang dimahukan, saya jangka Bersatu akan menghadapi masalah lebih besar selepas ini,” katanya lagi.

Mengakui tidak pernah melupakan jasa Muhyiddin yang membawanya ke dunia politik, Wan Ahmad Fayhsal bagaimanapun merasakan setiap tindakan hari ini adalah realistik dengan keadaan semasa.

“Saya sangat berharap isu-isu ini akan dapat dimuktamadkan penghujung tahun ini. Boleh lihat sendiri survey yang saya lakukan kepada ahli-ahli Bersatu. Hanya sebilangan kecil mahu Muhyiddin kekal tetapi jumlah lebih besar mahu beliau melepaskan jawatan,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, Lembaga Disiplin Bersatu telah menggantung Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi digantung keahlian selama satu penggal.

Selain itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta bersama-sama Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd. Isa Saidi; Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis dan Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris.

Dalam kenyataan, Lembaga Disiplin Bersatu memaklumkan tindakan itu diambil berikutan pelanggaran Perlembagaan dan Tatakelakuan ahli parti.

Penggantungan itu dibuat berikutan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan parti, kod etika dan tatakelakuan. -MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN:

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast