KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan menjelaskan mata pelajaran Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu yang akan diperkenalkan untuk murid Tahap I dalam Kurikulum Persekolahan 2027 menggantikan pelajaran Sains, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik dalam kurikulum sedia ada.
Menurutnya, mata pelajaran baharu itu menggabung jalin pelbagai disiplin ilmu iaitu sains, pendidikan kesihatan, muzik, seni visual, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan digital.
Katanya, mata pelajaran berkenaan akan dilaksanakan menerusi kaedah pengajaran berpasukan untuk menyokong elemen pelbagai disiplin ilmu dalam mata pelajaran ini yang mana guru saling melengkapi dan menyokong keperluan pembelajaran murid.
Jelasnya lagi, pada Tahap I, tumpuan utama diberi kepada penguasaan literasi dan numerasi (3M) serta pembentukan karakter.
Justeru, jumlah mata pelajaran yang diajar adalah minimum bagi membolehkan murid menguasai kemahiran asas. – MalaysiaGazette
















