Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Miri menjatuhkan hukuman denda RM30,000 terhadap Servay Hypermarket (Sabah) Sdn. Bhd. selepas syarikat itu mengaku bersalah atas pertuduhan gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti pemasangan struktur dan atap sehingga menyebabkan kemalangan ke atas seorang lelaki warga Indonesia.

Penyelaras keselamatannya mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahim.

Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak, kesalahan itu dilakukan pada 10 Mac 2025 pada jam 5.15 petang di sebuah tapak projek di Pusat Bandar Permyjaya, Daerah Kuala Baram, Miri, Sarawak.

Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan gagal memastikan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja pemasangan struktur dan atap, yang menyebabkan kemalangan kepada individu bukan pekerjanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM30,000 terhadap syarikat tersebut bagi kesalahan di bawah Seksyen 17(1) AKKP 1994.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak, Ir. Ts. Muhammad Fadzli Masnan dan Nur Shuhada Jusoh, manakala penyiasatan dijalankan oleh Maszidie Gani, Ts. Noor Hidzir Md. Noor, dan Nelson Pantau Philip Langut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast