Oleh: Ismail Hashim Yahaya
PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa agar segala bentuk keganasan di Sudan dihentikan serta-merta bagi memastikan keselamatan orang awam dipelihara sepenuhnya selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Dalam kenyataan terbaharunya, beliau melahirkan kebimbangan mendalam terhadap tragedi yang sedang berlaku di El Fasher dan seluruh wilayah Darfur — wilayah yang kini menjadi simbol kepada runtuhnya nurani kemanusiaan dunia.
“Apa yang sedang disaksikan adalah bencana kemanusiaan — pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan penindasan yang berlaku pada skala yang menggerunkan hati nurani manusia.
“Laporan mengenai kekejaman yang berpotensi dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan, malah genosid, katanya lagi, “adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali,”.
Kenyataan itu hadir pada ketika dunia seakan-akan membisu. Tatkala isu Gaza menjadi tumpuan sejagat dengan kempen solidariti dan liputan media yang berterusan, Sudan terperangkap dalam kesenyapan yang menyedihkan.
Kedua-duanya adalah tragedi kemanusiaan tetapi Gaza menjadi simbol politik global manakala Sudan menjadi bayang-bayang — ditinggalkan oleh algoritma perhatian dunia. Tiada liputan besar-besaran, tiada tekanan diplomatik konsisten dan tiada kehadiran nyata kuasa besar untuk mengendurkan konflik.
Dunia seolah-olah telah menormalkan penderitaan rakyat Sudan kerana ia tidak membawa nilai geopolitik yang menguntungkan atau naratif yang “mudah dijual” kepada media antarabangsa. Apa yang berlaku di Sudan bukan sekadar konflik antara dua jeneral yang berebut kuasa lebih jauh lagi medan kompleks pertembungan kepentingan serantau.
Ketiadaan suara aktif daripada Amerika Syarikat, Rusia dan China memperlihatkan ironi besar iaitu kuasa-kuasa yang biasanya berlumba menjadi “pendamai dunia” kini sama-sama memilih untuk menjadi penonton. Mereka menilai Sudan bukan dari sudut kemanusiaan sebaliknya dari perspektif untung rugi strategik. Prinsip tidak campur tangan dijadikan alasan walaupun genosid berlaku di depan mata dunia yang kononnya beradab dan demokratik.
Dalam konteks ini, persoalan yang wajar ditanya ialah: di manakah Global South — kumpulan negara yang sering melaungkan solidariti dan keadilan antarabangsa? Peliknya Dunia Selatan yang pernah menjadi simbol perjuangan anti-imperialis kini berdepan krisis moral apabila penderitaan sesama mereka sendiri tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
Negara-negara Islam dan Afrika termasuk OIC dan Kesatuan Afrika, kelihatan tidak berupaya menyatukan pendirian untuk menekan pihak bertelagah agar mencari perdamaian. Dalam keadaan inilah, kenyataan Anwar membawa gema moral yang penting bahkan juga mengingatkan betapa lemahnya struktur politik Global South untuk bertindak secara kolektif.
Anwar sebelum ini sering menyeru keperluan membina dunia yang lebih adil melalui kerjasama Selatan-Selatan dan reformasi sistem antarabangsa. Namun dalam isu Sudan, suara Malaysia masih terbatas pada pernyataan diplomatik yang berlandaskan kemanusiaan tanpa inisiatif konkrit yang mampu mencabar kesenyapan global ini.
Dalam era yang ditentukan oleh algoritma media sosial dan geopolitik digital, kenyataan moral sahaja tidak mencukupi. Krisis Sudan memerlukan keberanian politik serta tindakan kolektif negara-negara Global South sebagai penimbang kepada sikap acuh tak acuh kuasa besar. Tragedi di Darfur hari ini mengulangi sejarah hitam genosid yang tidak dihalang, pelarian yang tidak dibela dan masyarakat antarabangsa yang gagal menunaikan tanggungjawab kemanusiaan.
Namun berbeza dengan Gaza yang diselubungi liputan dan simpati sejagat, penderitaan Sudan berlangsung dalam senyap seolah-olah algoritma sejagat telah menentukan siapa yang layak menerima empati dan siapa yang harus dilupakan. Dalam diam, ribuan manusia mati dan dunia terus berpaling. Kesenyapan ini bukan sekadar tanda kegagalan diplomasi bahkan juga sebuah tanda semiotik tentang bagaimana makna penderitaan kini ditentukan oleh struktur media dan kuasa.
Dunia moden tidak lagi menilai kezaliman berdasarkan nilai kemanusiaan sejagat sebaliknya menurut sejauh mana tragedi itu dapat dijadikan naratif geopolitik atau moral yang menguntungkan. Gaza dijadikan pentas perdebatan ideologi global; Sudan pula dilupakan kerana ia tidak membawa simbolisme politik yang sama.
Maka lahirlah apa yang boleh disebut sebagai algoritma kesenyapan global iaitu suatu mekanisme halus yang menapis empati dan memutuskan siapa yang berhak mendapat perhatian dunia. Dalam sistem seperti ini, kebenaran dan kemanusiaan bukan lagi persoalan moral tetapi persoalan makna dan di situlah Sudan malangnya, terhapus dari ingatan dunia.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mantan pensyarah yang mengajar kursus hubungan antarabangsa di Universiti Selangor
















