KLUANG – Seorang penganggur ditahan kerana disyaki mencabul seorang ibu tunggal di dua lokasi berasingan di sekitar bandar ini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 3.36 petang semalam daripada mangsa yang berusia lewat 40-an.
“Berdasarkan laporan, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 2 petang dalam kereta milik mangsa.
“Sebelum itu mangsa dan suspek yang kedua-duanya tidak bekerja berkenalan menerusi media sosial sebulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menahan suspek.
Menurutnya, suspek berkenaan yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun ditahan pukul 4 pagi semalam.
“Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan saringan ujian air kencingnya didapati negatif dadah,” katanya.
Tambah Bahrin, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Tambahnya, Mahkamah Majistret di sini membenarkan suspek direman selama empat hari mulai semalam hingga Ahad ini bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana bali polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222, 07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) dan 014-3656822 (tablet DCC). – MalaysiaGazette
















