Dr Zulkifly Hassan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerima cenderamata khas dari Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani sempena pelancaran MARBAWI di USIM, Nilai

NILAI- Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menubuhkan Kumpulan Penyelidikan Markaz al-Bath li al-Hadith al-Nabawi atau singkatannya MARBAWI bagi memperkukuhkan kedudukannya sebagai rujukan ilmu naqli dan aqli serta mengembangkan jaringan akademik antarabangsa khususnya dalam bidang hadis

Inisiatif penubuhan Kumpulan Penyelidikan MARBAWI ini bagi menyemarak penyelidikan hadis, menangani cabaran pemalsuan hadis digital, serta membangunkan sumber rujukan hadis sahih dan berautoriti.

Melalui kewujudkan MARBAWI, USIM secara langsung akan menjadi pusat rujukan utama dalam penyelidikan, pengkajian dan penyebaran ilmu hadis Nabawi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pelancaran MARBAWI telah disempurnakan oleh Dr. Zulkifli Hassan, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baru-baru ini bersempena Syarahan Perdana dari tokoh ulama hadis terkemuka Jordan, Syeikh Dr. Hammam Abdulraheem Said bertemakan “Ensiklopedia Hadis dalam Pembangunan Ummah Madani”.

“Saya amat mengharapkan agar Kumpulan Penyelidikan MARBAWI di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM menjadi pusat rujukan serantau yang bukan sahaja menghimpunkan manuskrip dan penyelidikan hadis, tetapi juga menyemai budaya ilmu yang berteraskan nilai Rasulullah SAW — nilai kasih sayang, amanah dan kebijaksanaan dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat” ucap Dr Zulkifli.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani menyifatkan pelancaran Kumpulan Penyelidikan MARBAWI bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh ekosistem penyelidikan Islam yang bersifat multidisiplin dan berpaksikan nilai.

“Universiti meletakkan harapan agar MARBAWI akan menjadi pusat penyelidikan hadis yang unggul, menghimpunkan kepakaran dalam bidang hadis, teknologi dan bahasa bagi melahirkan karya yang berimpak tinggi dan berorientasikan ummah”, katanya.

Menurut FPQS, misi penubuhan MARBAWI untuk menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi dalam bidang hadis Nabawi dengan pendekatan yang sahih, berautoriti, dan berlandaskan metodologi penyelidikan terkini.

Selain itu, memperkasakan keilmuan hadis dalam masyarakat dengan menyebarkan kefahaman yang mendalam melalui penerbitan, seminar, dan program pendidikan serta melahirkan penyelidikan dan pakar akademik yang berkemahiran tinggi dalam bidang hadis.

Antara inovasi berkaitan hadis yang telah dihasilkan oleh Kumpulan Penyelidikan MARBAWI adalah Hadis Word Add In (sebuah aplikasi tambahan untuk Ms Word yang memudahkan untuk menambah teks hadis dalam penulisan) ; I-Takhrij (melatih pelajar mengenalpasti data hadis yang diperlukan dalam takhrij); dan Hadis Lacunae AI (sebuah aplikasi kecerdasan buatan yang dapat membantu dalam menjalaskan maksud perkataan tidak boleh diterjemah yang terdapat dalam hadis).

Inovasi lain adalah I-Semak Sanad (platform pengesahan kesahihan hadis melalui sanadnya menggunakan Pengkalan Data Perawi yang komprehensif); dan Hadith Gate (laman web hadis yang komprehensif menggabungkan pelbagai aplikasi hadis).

Kumpulan penyelidikan ini turut cemerlang dalam pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa antaranya memperoleh pingat emas dalam International Conference And Exposition on Inventions by Institutions of Higher Education (PENCIPTA) 2022, Malaysia Technology Expo (MTE) 2022 dan The Interbational Invention, Inovations and Technology Exhibitions (ITEX) 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast