Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Konvensyen Parti Amanah di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 November 2025

SHAH ALAM – Pergolakan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebenarnya memberi kelebihan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah dengan tenang.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, meskipun berpengalaman dengan Parti Islam SeMalaysia (Pas) sebelum ini namun pihaknya hanya memantau krisis politik Perikatan Nasional (PN) dari jauh sahaja.

“Itu pergolakan dalam kalangan PN itu, biarlah mereka menanganinya. Kita memerhati dari jauh.

“Cuma kita dengan pergolakan yang ada dalam mereka itu, kita akan hadapi pilihan raya yang lebih lega dan mudah, itu sahajalah,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Nasional 2025 Amanah di sini hari ini.

Pergolakan dalam Bersatu ketika ini dikaitkan dengan Akuan Bersumpah (SD) 120 ketua bahagian dan pertikaian reputasi susulan dakwaan terhadap Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengesahkan wujud usaha mengumpul SD daripada ketua bahagian, tetapi menegaskan ia bukan gerakan menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, tandatangan 120 ketua bahagian, lebih separuh dari 202 bahagian adalah sokongan kepada pelan peralihan dipersetujui lebih awal, sambil mengekalkan Muhyiddin sebagai ‘wajah utama’ parti.

Pertikaian itu memuncak sekitar Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) pada 9 September lalu apabila pendedahan pengumpulan tandatangan mencetuskan kekecohan.

Namun, PAT akhirnya meluluskan usul menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri daripada Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast