Gambar : Ihsan JAIP

KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menahan seorang ‘Ayahanda’ dan tujuh pengikut kumpulan Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi di Pulau Tawar, Jerantut pada Jumaat lepas.

Menurut Pengarah JAIP, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, kesemua mereka ditahan hasil serbuan dijalankan ke sebuah premis bekas gudang membuat perabot kayu dan rotan yang diubahsuai menjadi tempat penginapan mereka.

“Ketika serbuan dijalankan didapati premis yang disewa itu telah diubahsuai dan terdapat 11 bilik, ruang tamu, surau, dapur dan tiga bilik air.

“Seorang perempuan berusia 45 tahun iaitu isteri suspek utama dan tujuh lelaki termasuk suspek utama yang dipanggil ‘Ayahanda’ berumur lingkungan umur 45 tahun sehingga 66 tahun telah ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Ahmad Khirrizal, turut dirampas, pelbagai alatan dipercayai berunsur khurafat antaranya tongkat, ikatan kain kuning dan kain hitam.

Beliau berkata, suspek utama dipercayai telah menyewa premis itu sejak dua hingga tiga tahun lepas dan tinggal di situ bersama empat orang anak berusia antara lapan hingga 15 tahun.

“Tujuh individu iaitu pengikutnya turut tinggal di premis itu. Masing-masing bekerja sendiri dan penganggur berasal dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka,” katanya lagi.

Ahmad Khirrizal berkata, usaha mengesan individu lain disyaki terbabit dengan kumpulan ini sedang dilakukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 kerana memiliki buku, majalah dan sebagainya dalam kawalan dan simpanan (yang bertentangan Ahli Sunnah Wal Jamaah).

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 kerana tidak menunaikan Solat Jumaat serta Seksyen 54 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 kerana bersubahat.

Justeru, JAIP menyeru mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan kumpulan terbabit untuk tampil membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast