Hasil pemeriksaan awal mendapati vesel terbabit tidak mempunyai nombor pendaftaran - Foto Ihsan APMM

KUALA LUMPUR –  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah vesel nelayan asing (VNA) yang disyaki menceroboh dan menjalankan aktiviti perikanan secara haram kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Kepten Maritim Mohd Hairil Othman, berkata penahanan dilakukan kira-kira pukul 5.30 petang di kedudukan 32 batu nautika barat Pantai Remis.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati vesel terbabit tidak mempunyai nombor pendaftaran dan dikendalikan oleh empat kru warga Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Vesel yang digunakan bagi menjalankan aktiviti perikanan haram.

“Semua kru dan vesel berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan.

Vesel bersama kru kemudiannya ditunda ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan lanjut.

Beliau turut menasihati komuniti maritim dan nelayan tempatan agar terus menyalurkan maklumat kepada Maritim Malaysia sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut.

Tambahnya, pihak Maritim akan terus mempertingkatkan rondaan serta pemantauan di perairan negeri Perak, khususnya di kawasan berisiko tinggi melibatkan pencerobohan nelayan asing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast