Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

KUALA LUMPUR – Penyedia permainan dalam talian, Roblox Corporation memberi jaminan tahap keselamatan aplikasinya untuk melindungi lebih sejuta pengguna khususnya kanak-kanak di Malaysia akan ditingkatkan menerusi beberapa pendekatan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pemantauan berterusan dan kerjasama dengan kerajaan akan digunakan bagi memastikan Roblox selamat digunakan.

“Saya telah menyuarakan kebimbangan ini kepada pihak Roblox dan mereka memberikan jaminan untuk mempertingkatkan keselamatan.

“Teknologi AI, pemantauan manusia serta kerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam perkongsian data dan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan digunakan untuk meningkatkan keselamatan aplikasi ini.

“Kita mahu dunia digital yang bukan sahaja menyeronokkan bahkan membina karakter dan nilai yang betul untuk generasi akan datang,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan sedang meneliti kemungkinan mengharamkan aplikasi permainan dalam talian popular Roblox dan UMI susulan kebimbangan mengenai keselamatan dan kandungan yang mempengaruhi golongan muda.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan keputusan muktamad akan mengambil kira langkah bakal diambil oleh Australia yang merancang melaksanakan peraturan baharu terhadap Roblox pada Disember ini.

Kebimbangan itu timbul selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah akibat dikelar dan ditikam abangnya sendiri berusia sembilan tahun akibat pengaruh permainan video dalam talian di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat, Johor, 27 Oktober lalu.

Selain itu, Hannah juga menegaskan, bukan semua permainan video atau permainan dalam talian tergolong dalam kategori e-sukan.

“Ekoran beberapa insiden berlaku dalam kalangan belia termasuk kanak-kanak baru-baru ini.

“Saya sudah bertemu dengan Roblox Corporation pada 28 Oktober untuk membincangkan situasi semasa penyertaan belia dalam platform Roblox,” katanya.

Katanya lagi, dengan lebih lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia termasuk lebih sejuta pengguna permainan dalam talian Roblox di Malaysia, ancaman keselamatan terhadap anak muda tidak boleh dipandang mudah.

“Dengan capaian sebesar ini, tanggungjawab melindungi pengguna orang muda tidak boleh dipandang ringan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast