KUALA LUMPUR – Bagi masyarakat Korea, kimchi bukan sekadar makanan tetapi simbol ketekunan dan warisan turun-temurun yang mencerminkan semangat serta falsafah kehidupan mereka.
Kini cita rasa unik itu semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia kerana Kimchi turut menjadi bahan utama dalam pelbagai hidangan moden seperti nasi goreng kimchi, stew dan sup Korea yang digemari ramai penggemar K-food.
Buat peminat Kimchi, keunikan dan keaslian budaya makanan Korea itu dapat dinikmati lebih dekat menerusi Korea Kimchi Festival 2025 yang sedang berlangsung di K-Plus Food Market, The Curve, Mutiara Damansara sehingga hingga 16 November depan.
Acara tahunan itu dianjurkan oleh Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corporation (aT Center) di bawah Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea (MAFRA) dengan kerjasama KMT Food & Beverage Sdn. Bhd. sebagai usaha memperkukuh hubungan budaya dan gastronomi antara Korea dan Malaysia.
Pengerusi KMT Group of Companies, Datuk Matthew Lee berkata, pihaknya berbesar hati dapat memperkenalkan kimchi kebanggaan rakyat Korea kepada masyarakat Malaysia sambil berharap agar peminat makanan itu turut menghargai rasa serta nilai budaya yang terkandung di dalamnya.
“Lebih daripada sekadar pesta rasa, festival ini menjadi platform pertukaran budaya yang memperlihatkan bagaimana makanan mampu menyatukan dua bangsa berbeza.
“Keaslian resipi tradisional Korea disatukan dengan cita rasa tempatan dalam suasana yang mesra keluarga.
“Justeru, Korea Kimchi Festival 2025 bukan hanya tentang makanan tetapi ia adalah tentang pengalaman, budaya dan cinta terhadap cita rasa yang menghubungkan hati rakyat Malaysia dan Korea melalui sepinggan kimchi,” katanya pada majlis pelancaran festival itu semalam.
Turut hadir, Pengarah aT Center Kuala Lumpur, Chang Chung Ho yang menegaskan semua produk yang dipamerkan dan dijual di festival ini mempunyai pensijilan halal bagi memastikan ia mesra pengguna Muslim di Malaysia.
Korea Kimchi Festival 2025 yang berlangsung selama sembilan hari itu menawarkan pelbagai pengalaman menarik kepada pengunjung antaranya Demonstrasi pembuatan kimchi secara langsung oleh Madam Yoo Jung Im iaitu Master Kimchi Pertama Bertauliah dari Korea yang berkongsi rahsia fermentasi dan falsafah di sebalik penyediaan kimchi tradisional.
Turut diadakan sesi rasa dan jualan promosi pelbagai jenis kimchi premium yang diimport terus dari Korea menggunakan bahan semula jadi berkualiti tinggi selain zon budaya interaktif yang membawa pengunjung menelusuri sejarah dan evolusi kimchi dari kaedah pengawetan zaman dahulu hingga statusnya kini sebagai makanan terbaik kaya probiotik dan antioksidan. – MalaysiaGazette

















