KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan tidak membiarkan budaya politik naungan berleluasa dalam badan mahupun agensi di kementerian hingga menjejaskan institusi pembangunan Melayu Bumiputera.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa, pelantikan pemimpin politik bagi menggalas jawatan pengerusi agensi kerajaan tanpa berlandaskan kepakaran bidang tertentu hanya merugikan negara.
“Walaupun saya tak tahu siapa nak ganti Yang Berhormat Menteri (Ekonomi), tapi sebagai seorang teknokrat, sudah sampai masanya Yang Berhormat maklumkan kepada Yang Amat Berhormat Tambun (PMX), selamatkan institusi pembangunan Melayu Bumiputera kita.
“Jangan biarkan politik naungan jadi modal politik yang ingin diulang-ulang sehingga kerugian berulang kali, tak pernah belajar daripada kesilapan sama.
“Ini satu perkara saya harap boleh dibaiki dalam Belanjawan 2026,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, pengerusi agensi tertentu perlu beri ‘makan’ kepada ketua-ketua Bahagian parti politik dengan melantik mereka di dalam anak-anak syarikat milik kerajaan.
“Saya nampak banyak masalah berulang kali, sebenarnya tidak belajar daripada pengalaman. Kita sudah baiki elok Felda, Felcra, serah kepada orang politik, orang politik ini mengamalkan politik naungan.
“Bila dia pegang jawatan Pengerusi, dia nak bagi makan kepada ketua-ketua Bahagian dengan letakkan mereka ini di tempat yang ada anak-anak syarikat.
“Kalau yang buat itu macam Titiwangsa, saya tak rasa bimbang sebab dia pakar ekonomi, orang korporat, tapi orang jenis cari makan, buat pelaburan sana sini, rugi, kasihan pada orang Padang Terap dan Tangga Batu,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal juga mendakwa, walaupun Parlimen Machang tiada kawasan Felcra, namun beliau mengesyaki agensi kementerian itu membelanjakan peruntukan yang cukup besar.
“Di Machang tiada Felcra, tapi dibelanja, lenjan habis duit Felcra ini huh punya tak ingat dunia, ini tadbir urus dengan apa ini
“Yang kuasai Felcra di Kelantan, Pasir Puteh, tapi di tempat-tempat lain tak dibantu, tempat yang Felcra ada mandat tak dibantu macam di Gerik,” katanya.
Selain Felcra, dakwanya Majlis Amanah Rakyat (Mara) turut menjadi mangsa kepada amalan politik naungan menyebabkan kawasan lain dan pihak yang layak menerima bantuan tidak mendapat peruntukan sewajarnya.
“Pengerusi MARA jadi calon (BN) di Gerik, jadi dia gerakkan CSR di Gerik, tapi mengurangkan peruntukan untuk diberi kepada mana-mana pemilik atau yang layak menerima Mara di tempat lain
“Jadi Gerik lawan benda ini, tadbir urus tak betul,” katanya. – MalaysiaGazette
















